Perkukuh Ekosistem Teknologi Dron, MATRADE Terima Kunjungan Dari Aerodyne
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah menerima kunjungan daripada Kumpulan Aerodyne untuk mengadakan perbincangan bagi memperkukuh ekosistem teknologi dron.
Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan Aerodyne telah membina kehadiran yang kukuh di 45 buah negara dengan menawarkan penyelesaian berteknologi tinggi merangkumi pelbagai sektor.

“Saya bersama pasukan telah MATRADE menerima kunjungan Datuk Dr Kamarul A. Muhamed, Pengasas dan Ketua Evangelis Kumpulan Aerodyne, bersama delegasi Aerodyne untuk mengadakan perbincangan konstruktif mengenai perkembangan ekosistem teknologi dron global serta peluang yang semakin berkembang untuk syarikat teknologi Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.
“Sebagai antara syarikat teknologi dron dan transformasi digital terkemuka negara, Aerodyne telah membina kehadiran yang kukuh di 45 buah negara dengan menawarkan penyelesaian berteknologi tinggi merangkumi sektor telekomunikasi, tenaga dan tenaga boleh baharu, minyak dan gas, infrastruktur, pembinaan, pertanian serta logistik. Kejayaan ini membuktikan bahawa inovasi, kepakaran dan keusahawanan Malaysia mampu bersaing di pentas dunia.
“Dalam sesi perbincangan tersebut, kami bertukar pandangan mengenai masa depan teknologi dron, analitik data dan transformasi digital, khususnya dalam menyokong pendigitalan infrastruktur kritikal, agenda peralihan tenaga serta pembangunan bandar pintar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sesi libat urus tersebut memberi peluang kepada MATRADE untuk terus memahami keperluan industri dan memperkukuh peranan dalam membantu syarikat ‘Made-by-Malaysia’.

“Kami turut membincangkan cabaran yang dihadapi oleh syarikat teknologi tempatan termasuk aspek pematuhan peraturan, akses pasaran, pembangunan bakat serta keperluan pembiayaan bagi menyokong pengembangan perniagaan dan pengkomersialan teknologi ke peringkat antarabangsa.
“Paling penting, sesi libat urus ini memberi peluang kepada MATRADE untuk terus memahami keperluan industri dan memperkukuh peranan kami dalam membantu syarikat ‘Made-by-Malaysia’ seperti Aerodyne melalui pemudahcaraan akses pasaran, kerjasama strategik, inisiatif promosi eksport serta pengukuhan ekosistem sokongan.
“Seiring aspirasi Malaysia ke arah ekonomi yang dipacu inovasi, syarikat seperti Aerodyne memainkan peranan penting dalam mengetengahkan keupayaan negara bukan sahaja sebagai pengeksport produk dan perkhidmatan, malah sebagai penyedia teknologi bertaraf dunia, penyelesaian digital dan modal intelek yang berdaya saing,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar lebih banyak syarikat teknologi Malaysia akan muncul sebagai juara global.
“Saya berharap lebih banyak syarikat teknologi Malaysia akan muncul sebagai juara global dan seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran antarabangsa.
“Hadir sama dari Kumpulan Aerodyne, Izham Zakaria, Naib Presiden Kanan Pertumbuhan dan Inovasi Kumpulan Aerodyne merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penerbangan Aerodyne; Alif Adlie Azhar, Naib Presiden Perkongsian Strategik dan Logistik Dron Kumpulan Aerodyne.
“Manakala dari MATRADE ialah S. Jai Shankar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Akselerasi Eksport, MATRADE; Toh Kit Ying, Pengarah Bahagian Seksyen Elektrik dan Elektronik, ICT, Jentera dan Peralatan, MATRADE; Syed Zahirulddin Syed Ali, Pengurus Kanan Bahagian Seksyen Pengangkutan dan Logistik, MATRADE,” katanya lagi. – UMNO Online
