Sollehin Sampaikan Sumbangan Khemah Kepada Peniaga Pasar Malam

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie meneruskan khidmat bakti beliau di kawasan dengan menyantuni golongan peniaga kecil menerusi penyerahan sumbangan khemah niaga kepada para penjaja Pasar Malam Taman Mewah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam membantu meringankan beban.

“Alhamdulillah,  saya bersama Pengerusi JPKK Idris Ibrahim dan Kepimpinan UMNO Cawangan di dalam PDM Palma menyampaikan sumbangan khemah niaga kepada para penjaja Pasar Malam Taman Mewah, DUN Kuala Sepetang.

“Ini antara usaha kecil saya untuk membantu golongan penjaja yang setiap minggu berusaha mencari rezeki buat keluarga masing-masing.

“Walaupun bukan wakil rakyat, saya percaya khidmat kepada masyarakat tidak perlu menunggu jawatan atau peruntukan. Selagi ada kemampuan, kita bantu sekadar yang termampu.

“Semoga sumbangan ini dapat memudahkan urusan para penjaja, terutama ketika berniaga dalam keadaan panas atau hujan. Terima kasih kepada semua penjaja Pasar Malam Taman Mewah. Insya-Allah, saya akan terus bersama masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sollehin dalam pada itu turut berbesar hati meluangkan masa menghadiri sesi minum petang bersama barisan kepimpinan UMNO cawangan serta pemimpin masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Palma.

Menurutnya, pertemuan dalam suasana santai itu dimanfaatkan untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

“Dalam suasana santai, kami berbincang pelbagai perkara berkaitan gerak kerja di PDM Palma, termasuk beberapa aktiviti yang sedang dirancang sempena sambutan Bulan Kebangsaan. Insya-Allah, kita mahu menghidupkan semangat patriotisme melalui program yang mampu mengeratkan hubungan masyarakat di kawasan ini.

“Pertemuan seperti ini cukup penting kerana di sinilah kita bertukar pandangan, menyelesaikan isu di peringkat akar umbi dan mengukuhkan semangat kebersamaan. Hubungan yang erat antara kepimpinan inilah yang menjadi kekuatan kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Terima kasih kepada semua yang hadir. Semoga ukhwah yang terjalin ini terus diperkukuhkan demi kemajuan PDM Palma dan Dewan Undangan Negeri Kuala Sepetang,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO