JETP Pacu Transformasi Johor Ke Arah Negeri Maju Menjelang 2030
JOHOR BAHRU, 23 Jun – Kerajaan Johor menerusi Johor Economic Transformation Plan (JETP) terus memperkukuh agenda pembangunan ekonomi negeri dengan sasaran menjadikan Johor sebuah negeri maju, berdaya saing dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, JETP merupakan pelan pembangunan ekonomi jangka panjang yang menjadi asas kepada transformasi menyeluruh negeri ini, selaras dengan aspirasi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama negara.
“Johor Economic Transformation Plan bukan sekadar pelan pembangunan ekonomi, tetapi merupakan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan Johor muncul sebagai negeri maju, berdaya saing dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” katanya menerusi hanataran di laman Facebooknya.

Menurut beliau, menerusi pelan strategik tersebut, Johor menyasarkan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion, KDNK per kapita RM69,000, pewujudan 200,000 peluang pekerjaan baharu serta 100,000 pekerjaan berpendapatan premium menjelang tahun 2030.
“Melalui JETP, kita menetapkan sasaran yang jelas dan berani iaitu mencapai KDNK RM260 bilion, KDNK per kapita RM69,000, mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu serta 100,000 pekerjaan berpendapatan premium. Sasaran ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup rakyat Johor,” katanya.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, setiap daerah di Johor diberikan peranan strategik berdasarkan kekuatan dan kelebihan masing-masing iaitu:
1. Johor Bahru – Hab AI, hab pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, aeroangkasa dan perkhidmatan berorientasikan eksport;
2. Kulai – Hab AI, hab pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, aeroangkasa dan perkhidmatan berorientasikan eksport;
3. Kota Tinggi – Gerbang tenaga, hab kimia hijau, pertanian dan pelancongan;
4. Mersing – Hab ekonomi biru dan eko-pelancongan;
5. Kluang – Hab agro-pemprosesan bernilai tinggi, pertanian dan bioproses;
6. Segamat – Zon tanaman bernilai tinggi dan pemprosesan biojisim;
7. Tangkak – Pusat strategik dan agro pelancongan;
8. Muar – Kompleks tenaga perindustrian, pusat pelancongan dan industri pemprosesan makanan bernilai tinggi;
9. Batu Pahat – Industri pemprosesan dan pembuatan; serta
10. Pontian – Hab tenaga biru-hijau dan produk akuakultur.
Dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan tersebut, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Johor Regulatory Sandbox, satu inisiatif yang membolehkan dasar, teknologi dan model perniagaan baharu diuji serta dilaksanakan dengan lebih pantas.
Langkah itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Johor sebagai negeri yang progresif, inovatif dan mesra pelabur, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke negeri berkenaan.
“Pengenalan Johor Regulatory Sandbox membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan inovasi. Ia membolehkan dasar, teknologi dan model perniagaan baharu diuji dalam persekitaran yang lebih fleksibel serta mesra pelabur,” katanya.
Onn Hafiz berkata, beliau optimis segala perancangan yang digariskan menerusi JETP dapat direalisasikan dengan jayanya, seterusnya memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh seluruh Bangsa Johor.
“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, segala perancangan yang digariskan menerusi JETP dapat direalisasikan dengan jayanya demi memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
