UMNO Perlu Kuasai Naratif, Kukuhkan Parti Dengan Kesiapsiagaan Masa Hadapan

LAHAD DATU, 23 Jun – UMNO perlu menguasai naratif politik semasa, memperkukuhkan organisasi parti dan bersiap siaga menghadapi cabaran masa hadapan bagi memastikan parti terus relevan serta mendapat kepercayaan rakyat.

Perkara itu ditegaskan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu merangkap Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maizatul Akmam Alawi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Lahad Datu, baru-baru ini.

Menurut beliau, landskap politik hari ini telah berubah dengan kemunculan media baharu yang memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi rakyat terhadap parti dan pemimpin.

“Dalam era digital, naratif sering kali mengatasi fakta. Jika kita gagal menyampaikan mesej perjuangan dan pencapaian parti dengan berkesan, ruang itu akan diisi oleh pihak lain yang mungkin membawa persepsi negatif terhadap UMNO,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman lalu membuktikan bahawa kegagalan menguasai ruang komunikasi dan media sosial boleh memberi kesan besar kepada sokongan rakyat, walaupun pelbagai usaha pembangunan dan kebajikan telah dilaksanakan.

Sehubungan itu, Maizatul Akmam menyeru seluruh jentera parti, khususnya Wanita UMNO, agar memperkasakan kemahiran komunikasi digital dan memainkan peranan aktif dalam menyebarkan maklumat yang tepat serta mempertahankan perjuangan parti.

“Wanita UMNO perlu menjadi ejen penerangan yang berkesan, bukan sahaja di lapangan tetapi juga dalam dunia digital. Kita mesti berani menyanggah fitnah, memperbetulkan fakta dan menyampaikan kejayaan parti kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan program seperti JR Digital yang diperkenalkan bagi melengkapkan jentera parti dengan kemahiran komunikasi moden selaras dengan perubahan politik semasa.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa pengukuhan parti tidak hanya bergantung kepada ahli UMNO semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh untuk mendekati pengundi luar dan generasi muda.

“Keahlian yang besar adalah kekuatan, tetapi kemenangan hanya dapat dicapai apabila kita berjaya meyakinkan lebih ramai rakyat untuk bersama dan mempercayai perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti, mengelakkan perpecahan dalaman serta mengutamakan agenda kemenangan berbanding kepentingan individu.

“Pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa. Sebab itu kita mesti sentiasa bersedia, memperkemaskan jentera, mengukuhkan perpaduan dan memperluaskan sokongan rakyat. Kesiapsiagaan hari ini adalah penentu kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Tegasnya lagi, UMNO mempunyai peluang untuk terus bangkit sekiranya seluruh ahli parti bergerak sebagai satu pasukan, menguasai naratif semasa dan memperkukuhkan hubungan dengan rakyat.

“Perjuangan ini belum selesai. Dengan kesatuan, strategi yang tepat dan kesungguhan yang berterusan, UMNO mampu kembali menjadi parti pilihan rakyat serta menerajui masa depan yang lebih baik,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO