BN Perlu Kekal Terajui Johor Demi Kesinambungan Pembangunan – Norlizah Noh
KOTA TINGGI, 23 Jun — Barisan Nasional (BN) perlu terus diberikan mandat untuk mentadbir Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Norlizah Noh.
Menurut beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Tinggi, masih banyak perancangan dan usaha yang sedang serta akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang memerlukan kesinambungan pentadbiran di bawah kepimpinan BN.
“Banyak lagi kerja-kerja yang belum selesai sebenarnya yang akan diteruskan oleh Yang Berhormat Menteri Besar Johor. Sebab itu Barisan Nasional perlu kekal untuk PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang diterajui BN sebelum ini telah menunjukkan prestasi yang baik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat Johor, sekali gus menjadi asas kepada keyakinan bahawa pentadbiran sedia ada perlu diteruskan.
Dalam masa sama, Norlizah juga menyeru rakyat yang bakal mengundi kelak supaya membuat pertimbangan yang sewajarnya ketika memilih kerajaan pada pilihan raya akan datang.
“Sudah tentu kami daripada jentera Barisan Nasional ingin berpesan kepada rakyat. Kami tahu rakyat bijak berfikir dan mandat berada di tangan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terus memberikan sokongan kepada BN bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan dasar dan program pembangunan yang telah dirancang untuk negeri Johor.
“Pilihlah kerajaan Barisan Nasional pada PRN kali ini demi meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya lagi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sekali gus membuka laluan kepada PRN Johor ke-16.
PRN Johor bermula dengan penamaan calon pada 27 Jun, disusuli kempen selama 14 hari, pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai. – UMNO Online
