‘Neraka’ Bagi PH … Lihat Kejayaan Pembangunan Dilakukan BN Di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii membidas kenyataan Hannah Yeoh yang mengibaratkan kehidupan di Kuala Lumpur pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebagai neraka.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata kenyataan tersebut adalah tidak wajar dan mengabaikan pelbagai pencapaian dilakukan BN termasuk pembangunan KLCC, TRX serta Menara Merdeka 118.
“Saya ada terbaca di Malay Mail, YB Menteri yang menjaga Wilayah Persekutuan mengatakan kehidupan zaman BN di Kuala Lumpur ibarat dalam neraka.
“Hannah juga tinggal di Kuala Lumpur, selama beliau tinggal dibawah BN, sebagai ahli Politik Dap sememangnya perasaan peribadinya sedemikian. Melihat kemajuan yang dibawa oleh BN, dengan mercu tanda KLCC, TRX dan terbaru Menara 118.
“Neraka bagi PH melihat BN melakukan pembangunan yang tersusun dengan LRT dan Monorel, melihat penduduk yang boleh mencari pekerjaan dan peluang membuat perniagaan dalam Kuala Lumpur,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Razlan turut mendakwa Hannah juga gagal membawa pembangunan baharu yang signifikan kepada Kuala Lumpur ketika rakyat berdepan cabaran dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat.
Malah katanya projek perumahan mampu milik yang dibangunkan ketika pentadbiran BN hanya diteruskan dan dirasmikan oleh kerajaan semasa.
“Semenjak beliau menjaga Kuala Lumpur, beliau tidak dapat melakukan satupun pembangunan, semuanya hasil tangan BN, perumahan murah yang dibina sewaktu BN, dirasmikan oleh Menteri PH dan hanya menukar nama Perumahan Madani. Inilah dikatakan lembu punya susu, sapi Dap dapat nama.
“Sebagai Ahli Parlimen PH yang majoriti di Kuala Lumpur, sememangnya neraka bagi beliau apabila kerajaan BN mendapat pengiktirafan bandar selamat dan semenjak PH menjadi Kerajaan, Kuala Lumpur jatuh tempat ke tiga bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara tahun 2025.
“Hakikat ini telah menjadikan Hannah berilunisasi, punyai perasaan sakit mental dan iri hati kerana beliau melihat kejayaan ini, beliau tidak suka dengan pembangunan yang dibawa oleh BN, beliau marah dan sakit hati, kerana bukan PH yang lakukan,” ujar beliau.
Beliau turut berkata, pertukaran menteri dalam tempoh yang singkat dilihat menjejaskan keberkesanan pengurusan serta pelaksanaan dasar.
“Semenjak PH memerintah, sale di TRX, Pavilion dan KLCC, jatuh kepada 30 hingga 40 peratus, ini semua kerana sistem pencukaian yang tidak disenangi, malah kehidupan di Kuala Lumpur menjadi tertekan dengan kos yang tinggi.
“PH gagal menguruskan semua ini kerana sibuk menukar Menteri. Bayangkan dalam tiga tahun, ada tiga menteri yang menjaga Kuala Lumpur, hendak melantik menteri pun gagal, bagaimana hendak menjaga rakyat?” katanya lagi. – UMNO Online
