Marilah Kembali Ke Rumah Bangsa Yang Tidak Pernah Gadai Prinsip Perjuangan

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyeru rakyat untuk kembali ke Rumah Bangsa yang tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya dulu, kini dan selamanya.

Ujarnya, Rumah Bangsa ini telah terbukti menyumbang banyak jasa dengan pembinaan pelbagai institusi untuk membantu orang Melayu khususnya sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, Rumah Bangsa inilah yang telah melahirkan dan membina institusi-institusi besar orang Melayu, terus memberi manfaat sehingga hari ini seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Haji dan pelbagai lagi institusi, menjadi tiang kekuatan bangsa.

“Anak-anak kita yang berjaya ini, belajar tinggi-tinggi hasil daripada usaha, Dasar Ekonomi Baharu (DEB), dasar agensi-agensi dan institusi yang UMNO bawa serta bina. Kali ini, kalau pilihan raya, baliklah kepada rumah bangsa ini.

“Inilah perjuangan sebenar orang Melayu, bukan terus-menerus bersengketa dan berpecah, tetapi bersatu membina masa depan bersama. Marilah kita kembali ke Rumah Bangsa ini, rumah yang tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi potongan video yang dimuatnaik menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, UMNO masih berpegang teguh kepada prinsip yang dijunjung meskipun telah menjalin kerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita berada dalam keadaan mempertahankan perjuangan dan prinsip UMNO selama ini. Walaupun bekerjasama dengan Dap, prinsip UMNO tidak pernah kita gadaikan. Segala perkara berkaitan kepentingan bangsa, agama dan institusi Raja-Raja Melayu sentiasa diperjuangkan serta dipertahankan oleh UMNO.

“Hari ini buktinya jelas. Apabila garis-garis merah yang ditetapkan UMNO disentuh atau dilanggar, kita tetap menyanggah dan mempertahankan pendirian parti. Sama ada dalam isu URA, cadangan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun perkara-perkara yang menyentuh institusi Raja-Raja Melayu.

“UMNO tetap teguh berpegang kepada lunas perjuangan dan kepercayaannya. Cukuplah bersengketa, sudah tiba masanya kita membuat keputusan berdasarkan prinsip dan kembali memperkukuhkan Rumah Bangsa demi agama, bangsa serta negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO