Ada Pihak Mahu Gagalkan Rundingan Damai Iran-Amerika – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkembangan terkini konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran membimbangkan kerana keamanan di Asia Barat bukan sahaja penting kepada negara-negara di rantau itu, malah turut memberi kesan langsung kepada ekonomi global, termasuk Malaysia.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan, walaupun AS dan Iran telah mencapai persefahaman awal menerusi MoU yang mengandungi 14 syarat utama serta tempoh 60 hari untuk proses ratifikasi, namun masih terdapat pihak yang dilihat tidak mahu konflik tersebut berakhir.
“Ada pihak yang tidak mahu melihat peperangan ini ditamatkan di Asia Barat iaitu Israel. Israel seboleh mungkin mahu melihat supaya Iran dimusnahkan.
“Maka ada pihak yang berkepentingan mahu menggagalkan rundingan damai antara Iran dan Amerika ini,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Tampin (BN), Datuk Mohd Isam Mohd Isa meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian dan peranan Malaysia berhubung pengumuman MoU antara AS dan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan di Asia Barat.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, cubaan itu dapat dilihat dengan tindakan Israel yang masih meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan walaupun isu pengunduran dan penghentian pencerobohan menjadi antara perkara disentuh dalam MoU tersebut.
“Israel terus mengebom Lubnan. Apa isyarat yang mahu diberikan kepada dunia? Mereka tidak mahu melihat ketenteraman dan keamanan wujud di kawasan itu kerana mempunyai kepentingan tertentu.
“Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomatik pelbagai hala termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan BRICS bagi meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel.
Ujarnya, tekanan berterusan perlu diberikan supaya Israel menghentikan pencerobohan di Lubnan, serangan terhadap Gaza serta tindakan di Tebing Barat Palestin.
“Kalau kita dapat sokongan lebih 140 negara dalam Perhimpunan Agung PBB, ia akan menjadi tekanan besar kepada Israel untuk menghentikan segala bentuk pencerobohan,” ujarnya lagi. – UMNO Online
