Teknologi Pintar Bantu Kurangkan Kesesakan, Kerajaan Negeri Johor Komited Selesai Masalah Rakyat

KULAI, 23 Jun – Usaha berterusan Kerajaan Negeri Johor dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi rakyat menunjukkan perkembangan positif apabila masa perjalanan di sepanjang Jalan Seelong, Senai berjaya dikurangkan hasil pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, beliau telah turun padang bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai serta pegawai-pegawai berkaitan bagi meninjau sendiri keadaan trafik di lokasi berkenaan ketika waktu puncak.

Menurut beliau, pendekatan turun padang penting bagi memastikan setiap permasalahan yang dihadapi rakyat dapat difahami secara langsung dan diselesaikan melalui tindakan yang tepat serta berkesan.

“Sebagai kerajaan yang berjiwa rakyat, kita tidak boleh hanya bergantung kepada laporan di atas kertas. Kita perlu turun ke lapangan, melihat sendiri situasi sebenar dan mendengar pandangan pengguna jalan raya supaya penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, hasil pelaksanaan Smart Traffic Light (TrafficSens) menggunakan teknologi AI Virtual Loop di tiga persimpangan utama sepanjang Jalan Seelong telah berjaya meningkatkan kelancaran aliran trafik dengan mengoptimumkan tempoh lampu hijau secara automatik mengikut keadaan semasa.

Selain itu, jelasnya, MPKu turut memasang timer digital pada lampu isyarat di lokasi terlibat bagi membantu pengguna jalan raya mengetahui baki masa lampu hijau dan merah dengan lebih jelas, sekali gus meningkatkan disiplin pemanduan serta melancarkan pergerakan trafik.

Ujar beliau, berdasarkan pemantauan awal, masa perjalanan pada waktu puncak pagi berjaya dikurangkan daripada 18 minit kepada sekitar 14 minit, manakala panjang barisan kenderaan menurun sehingga 36 peratus; pada waktu puncak petang pula, masa perjalanan berkurang lebih lima minit dengan tahap kesesakan menurun sehingga 33 peratus.

Mohd Jafni berkata, kejayaan tersebut turut didorong oleh komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melaksanakan kawalan trafik secara aktif di lokasi-lokasi kritikal ketika waktu puncak.

“Kerjasama erat antara MPKu, PDRM dan agensi teknikal membuktikan bahawa penggunaan teknologi pintar yang disokong pengurusan trafik secara aktif mampu memberikan penyelesaian yang cepat, praktikal dan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan tersebut merupakan sebahagian daripada fasa awal penyelesaian bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di Daerah Kulai.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bersama MPKu telah mengenal pasti beberapa langkah dan intervensi tambahan yang akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan data trafik, keperluan semasa serta pertumbuhan pembangunan yang semakin pesat di daerah itu.

“Matlamat kita bukan sekadar mengurangkan kesesakan hari ini, tetapi membina sistem mobiliti yang lebih cekap, selamat dan mampan untuk masa hadapan. Apa yang penting, setiap usaha yang dilaksanakan mesti memberi impak sebenar kepada kehidupan harian rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan menyelesaikan masalah rakyat melalui tindakan pantas, berkesan dan berimpak merupakan antara agenda utama yang sentiasa ditekankan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Jelasnya, Kerajaan Negeri bersama MPKu akan terus memperkukuh usaha meningkatkan kecekapan sistem trafik dan infrastruktur bagi memastikan perjalanan harian rakyat Johor menjadi lebih selesa, selamat dan lancar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO