Melaka Terus Pacu Pembangunan, Perkukuh Kesejahteraan Rakyat

MELAKA, 22 Jun – Kerajaan Negeri Melaka terus komited membawa pembangunan dan mendengar denyut nadi rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sejak tahun 2018, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) telah berjaya menyelaras dan memudah cara penyediaan sebanyak 61,935 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negeri melalui dasar perumahan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Jun 2026 yang diselaraskan oleh LPM dan dihadiri barisan pimpinan negeri.

Menurut beliau, Melaka turut mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila merekodkan harga jualan rumah paling rendah di Malaysia berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku pertama tahun 2026.

“Selain itu, lebih 1,100 rakyat berjaya memiliki kediaman menerusi Skim Sewaan Untuk Dimiliki (Rent-To-Own) yang dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong dan PPR Tehel,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam perkembangan sektor pelancongan, Melaka terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan kehadiran lebih enam juta pelancong sehingga Mei 2026 dengan anggaran impak ekonomi mencecah RM6.24 bilion.

Bagi memperkukuhkan lagi sektor tersebut, kerajaan negeri kini sedang mengadakan rundingan untuk membuka tiga laluan baharu yang menghubungkan Melaka dengan Batam, Kota Bharu dan Pulau Pinang.

Sementara itu, maklumnya, kerajaan negeri turut mengumumkan dua perkembangan penting bagi membantu komuniti pertanian dan perikanan di Melaka.

Pertama, kerajaan negeri menyambut baik keputusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang memberikan kebenaran khas kepada nelayan berlesen berpangkalan di Melaka untuk menangkap ikan di kawasan Pulau Besar.

Kedua, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang melaksanakan Program Subsidi Insentif Logistik Negeri Melaka 2026 yang akan memberi manfaat kepada 300 petani menerusi bantuan sebanyak RM300 secara sekali bayar.

Dalam usaha memperkukuh pendekatan turun padang dan mendekati rakyat, kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif baharu dikenali sebagai Jelajah Ketua Menteri yang dijadualkan bermula pada 5 Julai 2026.

Program tersebut akan dilaksanakan di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sehari bagi membolehkan kerajaan mendengar secara langsung pandangan rakyat, meninjau isu setempat serta menyelaras tindakan penyelesaian dengan lebih berkesan.

Ab Rauf berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap dasar dan program pembangunan dilaksanakan berteraskan keperluan sebenar rakyat serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO