Ahmad Zahid Iring Sambutan Rasmi Perdana Menteri Bangladesh Ke Malaysia
PUTRAJAYA, 22 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menghadiri Istiadat Sambutan Rasmi sempena Lawatan Rasmi Tarique Rahman, Perdana Menteri Bangladesh, ke Malaysia yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Malaysia dan Bangladesh telah lama menjalinkan hubungan baik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, tenaga, pertanian dan pengurusan sumber manusia.

Menurut beliau, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh pada tahun 2025 telah mencecah RM12.18 bilion, sekali gus mencerminkan potensi besar yang masih boleh diterokai dan diperkukuh oleh kedua-dua negara.
“Lawatan rasmi ini diharap dapat membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Bangladesh, selain meneroka peluang baharu yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya dalam satuhantaran di laman Facebooknya.
Terdahulu ketibaan Tarique disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pukul 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Tarique kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani termasuk diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan. – UMNO Online
