Kekalkan Kerajaan Stabil, Anak Muda Johor Diseru Terus Sokong BN
AYER HITAM, 22 Jun – Golongan muda di negeri ini diseru untuk terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik Johor dapat dikekalkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan Puteri UMNO Negeri Johor, Nur Syareeza Abdullah berkata, jentera penerangan Puteri UMNO telah memulakan gerak kerja lebih awal dan kini terus memperkukuhkan kesiapsiagaan bagi menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang.
Menurut beliau, usaha tersebut penting bagi memastikan kemenangan BN sekali gus membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan tanpa gangguan.

“Alhamdulillah, kita telah selesai melaksanakan program kesiapsiagaan bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang. Puteri UMNO khususnya di bahagian penerangan telah bekerja sejak awal lagi dan hari ini kita memperkukuhkan lagi jentera sedia ada untuk menghadapi pilihan raya.
“Saya yakin dengan kepimpinan dan calon-calon yang bakal ditampilkan oleh BN kerana mereka terdiri daripada pemimpin yang dikenali rakyat serta mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dalam kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Komunikasi Digital yang diadakan di sini, pada Sabtu.
Nur Syareeza turut mengajak anak-anak muda yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi dan memberikan mandat kepada BN untuk terus mentadbir Johor.
“Saya menyeru anak-anak muda di luar sana agar pulang mengundi dan memilih Barisan Nasional. Bagi yang berada di kawasan masing-masing, jangan lupa untuk mengundi BN kerana Johor ketika ini berada di landasan yang baik untuk terus maju.
“Kita sedang bergerak ke arah merealisasikan agenda Maju Johor 2030 dan saya berharap BN akan memperoleh kemenangan dengan majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan kempen BN akan lebih menumpukan kepada rekod pencapaian dan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan untuk rakyat, khususnya golongan muda.

Antara usaha yang akan diketengahkan termasuklah Bantuan Kasih Johor, bantuan kepada golongan belia serta pelbagai inisiatif perumahan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri.
“Pada pandangan saya, anak muda hari ini sudah tidak gemar dengan politik yang membawa naratif negatif. Sebaliknya, mereka mahu melihat hasil, perancangan dan masa depan yang jelas.
“Di Johor, kita mempunyai cara politik yang lebih matang. Kita mahu mengetengahkan wawasan dan perancangan yang mampu membawa kemajuan kepada Bangsa Johor,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan faktor penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri terus berkembang dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk generasi muda.
“Pesanan saya kepada masyarakat khususnya golongan muda, kekalkan kerajaan yang sedia ada kerana kerajaan BN Johor telah membawa negeri ini ke tahap yang lebih cemerlang.
“Untuk mencapai Maju Johor 2030, kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mampu menjana ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda. Tidak lain dan tidak bukan, Barisan Nasional adalah pilihan terbaik untuk Johor,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 Jun sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor dengan proses pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai, manakala hari mengundi ditetapkan pada 11 Julai. – UMNO Online
