Dr Akmal Bidas Adly: Berkempen Janganlah Sampai Memfitnah, Memburukkan Rakyat Negeri Melaka
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Naib Presiden Pan, Adly Zahari untuk tidak menabur fitnah dan memburukkan rakyat Negeri Melaka ketika musim berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Membidas kenyataan Adly, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan bahawa tiada rakyat Melaka yang kurang senang dengan kehadiran rakyat Johor di negeri itu.

“Saya mahu mengingatkan kepada kekanda saya YB Adly Zahari. Kita kalau nak kempen, silakan… tiada masalah. Tetapi janganlah sampai memberi pandangan negatif dan memfitnah rakyat Melaka.
“Setahu saya, sejak saya duduk di Sungai Rambai dan Merlimau, tiada lagi rakyat Melaka yang tidak suka terhadap kehadiran rakyat Negeri Johor. Malah kami juga selalu ke Negeri Johor dan bekerja di kawasan Muar.
“Mungkin YB masa jadi Ketua Menteri tidak tahu atau buat-buat tidak tahu, hampir separuh rujukan pesakit dari klinik kesihatan di kawasan Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai juga akan dirujuk ke Hospital Muar di dalam Negeri Johor,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Tegasnya, rakyat Negeri Melaka turut mendapat manfaat daripada Hospital Muar yang berada di Negeri Johor.

“Ya, rakyat Melaka juga mendapat manfaat daripada Hospital Muar di dalam Negeri Johor dan kami tiada masalah mahupun perasaan tidak suka kepada rakyat Negeri Johor.
“Nak berkempen tu kempenlah … janganlah sampai buat fitnah dan memburukkan rakyat negeri Melaka pula.
“…yang kami tidak suka adalah pemimpin membohong, janji macam-macam, tetapi apabila dah menang, janji itu hanya tinggal janji,” katanya lagi.
Pada Ahad media melaporkan Adly mendakwa bahawa rakyat di Negeri Melaka terutamanya di kawasan Sungai Rambai kurang senang dengan kehadiran rakyat Negeri Johor utara.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena PRN Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi. – UMNO Online
