Majlis Tahfiz Negara Pemangkin Masa Depan Generasi Huffaz – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Penubuhan Majlis Tahfiz Negara yang dipersetujui kerajaan menerusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh serta memperkasa ekosistem pendidikan tahfiz di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan majlis tersebut bertujuan menyelaras hala tuju pendidikan tahfiz, standard pengiktirafan serta laluan akademik pelajar tahfiz di seluruh negara agar lebih tersusun dan berdaya saing.

Menurut beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan institusi tahfiz terus relevan dengan keperluan semasa tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam yang menjadi asas pembentukan generasi huffaz.

“Hasrat kita adalah untuk anak-anak tahfiz melihat masa depan yang lebih luas dan terbuka. Daripada madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran serta daripada institusi tahfiz ke pelbagai bidang profesional,” katanya menerusi perkingsian di Facebook.

Beliau berkata, pelajar tahfiz tidak seharusnya dilihat terbatas kepada bidang keagamaan semata-mata, sebaliknya perlu diberikan peluang untuk meneroka pelbagai cabang ilmu dan kerjaya yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Tambah beliau, Majlis Tahfiz Negara akan berperanan sebagai platform penting dalam merangka dasar serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi tahfiz, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan pendidikan tahfiz dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

“Insya-Allah, Majlis Tahfiz Negara akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa ekosistem pendidikan tahfiz negara serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi huffaz pada masa hadapan,” ujarnya.

Penubuhan majlis tersebut juga dijangka mampu meningkatkan kualiti pendidikan tahfiz negara melalui penyelarasan standard dan pengiktirafan yang lebih sistematik, sekali gus melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran, malah mempunyai kemahiran serta kepakaran profesional yang diperlukan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO