Rais Santuni Petugas Pembersihan, Hargai Pengorbanan Wira Bandaraya Melaka
MELAKA, 20 Jun – Kerajaan Negeri Melaka terus menzahirkan penghargaan terhadap golongan pekerja yang menjadi tulang belakang dalam memastikan kebersihan dan kesejahteraan bandaraya apabila Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Rais Yasin menghadiri serta menyempurnakan Program Santuni Petugas Pembersihan sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan Peringkat MBMB Tahun 2026 di Kingston Hotel, Dataran Pahlawan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, program tersebut merupakan manifestasi penghargaan kepada petugas-petugas pembersihan yang selama ini bertungkus-lumus menjalankan amanah memastikan bandaraya Melaka sentiasa berada dalam keadaan bersih, ceria dan kondusif.
Katanya, golongan berkenaan merupakan “wira tidak didendang” yang bekerja tanpa mengira waktu dan keadaan demi memberikan persekitaran terbaik kepada rakyat serta pelancong yang berkunjung ke negeri bersejarah itu.
“Jasa dan pengorbanan mereka amat besar dalam usaha menjadikan Melaka sebuah negeri yang bersih, indah dan mampan. Komitmen yang ditunjukkan oleh petugas pembersihan turut menyumbang kepada imej positif Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas pembersihan atas dedikasi dan komitmen yang dicurahkan dalam melaksanakan tugas harian mereka.
Rais seterusnya menambah, usaha menghargai golongan pekerja perlu terus diperkasakan kerana mereka memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dalam suasana yang selesa dan teratur.
Program berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam mengiktiraf sumbangan setiap lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Melaka untuk terus maju sebagai negeri yang bersih, lestari dan mesra rakyat.- UMNO Online
