Ab Rauf Turun Padang Santuni Warga Telok Mas, Tinjau Keperluan Komuniti

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berbesar hati turun padang menyantuni warga Telok Mas menerusi beberapa siri program kemasyarakatan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan, petang semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka memanfaatkan platform tersebut untuk menyantuni rakyat selain meninjau pelaksanaan inisiatif pembangunan dan kebajikan.

“Alhamdulillah, petang semalam saya berkesempatan turun padang menyantuni warga DUN Telok Mas menerusi beberapa siri program kemasyarakatan.

“Lawatan dimulakan dengan meninjau pelaksanaan Inisiatif Kampung Digital di Kampung Pengkalan Jajar bagi memodenkan pengurusan komuniti, diikuti dengan siri ziarah kasih warga emas ke kediaman Tuan Haji Khalil Deris dan Haji Tahir Sidek untuk bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan kebajikan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas yang juga EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ab Rauf turut hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas bagi merasmikan Mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ yang dihasilkan sebagai simbol pemupukan nilai kepimpinan dan jati diri dalam kalangan pelajar.

Kemudiannya, beliau berkesempatan ke Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Surau Fasa 5 yang turut diadakan di kawasan tersebut.

Menurut beliau lebih istimewa, pembinaan surau ini bukan sekadar sebuah projek pembangunan, tetapi simbol harapan penduduk yang telah menunggu lebih 20 tahun untuk memiliki sebuah surau di dalam kawasan taman perumahan yang selesa dan sempurna.

“Saya hadir ke SMK Telok Mas bagi merasmikan Mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’. Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran, saya juga meluluskan permohonan sekolah bagi mendapatkan dua unit televisyen pintar dan dua unit penghawa dingin untuk kegunaan warga pendidik dan pelajar.

“Program hari ini diakhiri dengan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Surau Fasa 5 di Taman Seri Telok Mas demi keselesaan kariah setempat beribadah kelak. Insya-Allah, projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh 16 minggu bermula 13 Julai hingga 2 November 2026. Apabila siap kelak, surau ini bukan sahaja menjadi tempat beribadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat setempat.

“Terima kasih atas sambutan yang amat mesra dan kata-kata semangat daripada seluruh warga Telok Mas. Kerajaan Negeri Melaka akan terus komited memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela dan pembangunan inklusif dapat dinikmati bersama,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO