Pelan Transformasi Ekonomi Johor: Golongan Muda Terima Manfaat Besar – Azleen

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pemuda UMNO Johor mengalu-alukan pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Johor (Johor Economic Transformation Plan – JETP) oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, pelan ini bakal menjadi pemangkin utama kepada Teras Pembangunan Ekonomi dalam menjayakan misi besar Agenda Maju Johor 2030 serta meletakkan Johor sebagai antara kuasa ekonomi Malaysia yang paling dinamik dan berdaya saing.

“Orang Muda Johor merupakan penerima manfaat terbesar daripada pelaksanaan JETP. Melalui sasaran mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu yang berkualiti dan berpendapatan tinggi, generasi muda Johor akan menikmati akses yang lebih luas kepada peluang kerjaya yang menawarkan prospek kerjaya masa depan yang lebih baik.

“JETP turut membuka ruang yang lebih besar kepada pembangunan modal insan melalui pelaburan dalam bidang pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), kemahiran digital serta kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri.

“Langkah ini penting bagi memastikan Orang Muda Johor memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan ekonomi masa hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut kata Azleen, orang muda Johor juga bakal menikmati manfaat besar melalui pembukaan peluang keusahawanan dan perniagaan baharu dalam sektor-sektor strategik yang menjadi fokus JETP seperti tenaga, kimia dan petrokimia, kesihatan dan farmaseutikal, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, logistik, pelancongan serta pertanian moden.

“Pelaksanaan JETP dijangka mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk usahawan muda berkembang melalui akses yang lebih baik kepada pembiayaan, infrastruktur digital yang lebih kukuh dan pasaran yang lebih luas.

“Pemuda UMNO Johor turut menyambut baik pendekatan pembangunan yang lebih terangkum menerusi JETP, yang mengiktiraf kekuatan, potensi dan keunikan setiap daerah di Johor. Setiap daerah dalam negeri Johor akan memainkan peranan strategik mengikut kekuatan dan potensi masing-masing untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih terangkum, seimbang dan menyeluruh,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Pasir Gudang menjelaskan, pendekatan pembangunan berasaskan kekuatan daerah ini akan memastikan limpahan kemajuan ekonomi tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja, sebaliknya dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh seluruh daerah di negeri Johor.

“Dengan pelaksanaan strategi ini, peluang pekerjaan berkualiti, pelaburan baharu dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi dapat diwujudkan di seluruh negeri, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada Orang Muda Johor tanpa mengira lokasi mereka.

“Johor kini berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. JETP bukan sekadar pelan ekonomi, tetapi merupakan pelan masa depan yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, meningkatkan pendapatan, membina kerjaya, mengembangkan perniagaan serta menikmati kualiti hidup yang lebih sejahtera,” ujarnya.

Seterusnya beliau menyeru Orang Muda Johor untuk terus memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada Barisan Nasional (BN) Johor agar agenda pembangunan yang telah dirancang ini dapat diteruskan secara konsisten demi menjamin masa depan Johor yang lebih makmur, maju dan berdaya saing. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO