Mahfuz Omar Cuba Bina Naratif Jahat, Institusi Diraja Payung Rakyat – Md Israk

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk Naib Presiden Pan, Datuk Mahfuz Omar menggambarkan peranan institusi Diraja dalam pentadbiran Negeri Johor sebagai bentuk perlindungan politik.

Menerusi satu kenyataan, beliau menyifatkan tindakan Mahfuz sebagai cubaan membina naratif jahat dan mengelirukan rakyat untuk meraih perhatian politik.

“Saya menyifatkan kenyataan Mahfuz Omar sebagai cubaan membina naratif jahat dan mengelirukan rakyat semata-mata untuk meraih perhatian politik. Sebagai pemimpin politik luar Johor, beliau sepatutnya memahami terlebih dahulu budaya, sejarah dan sistem pentadbiran Johor sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap kepimpinan negeri ini.

“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak pernah berlindung di sebalik Istana Johor seperti yang didakwa. Sebaliknya, beliau hanya menjelaskan realiti pentadbiran Johor sentiasa menjunjung tinggi institusi Diraja sebagai payung rakyat dan institusi strategik yang memberikan panduan, nasihat dan teguran demi memastikan kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan negeri terus terpelihara.

“Mengiktiraf peranan institusi Diraja dalam pentadbiran bukanlah satu bentuk perlindungan politik, sebaliknya mencerminkan penghormatan terhadap tradisi dan sistem pemerintahan yang telah menjadi kekuatan Johor sejak sekian lama,” katanya.

Jelasnya, naratif tersebut memperlihatkan kegagalan beliau memahami semangat Johor dan keistimewaan hubungan di antara pemimpin, rakyat dan institusi Diraja di negeri itu.

“Di Johor, hubungan antara pemimpin, rakyat dan institusi Diraja bukanlah sesuatu yang boleh dipisahkan. Ia adalah sebahagian daripada identiti negeri ini. Rakyat Johor memahami bahawa Istana Johor sentiasa dekat dengan rakyat, mendengar suara rakyat dan menjadi panduan kepada pentadbiran negeri demi memastikan kepentingan Bangsa Johor sentiasa terpelihara.

“Justeru, amat tidak wajar apabila Mahfuz cuba menggambarkan seolah-olah menyebut peranan institusi Diraja dalam pentadbiran negeri adalah satu bentuk perlindungan politik.

“Naratif sebegini hanya memperlihatkan kegagalan beliau memahami semangat Johor dan keistimewaan hubungan yang telah lama terbina antara istana, kerajaan dan rakyat negeri ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak untuk menghormati budaya dan sejarah Negeri Johor yang meletakkan institusi Diraja sebagai payung kebanggaan.

“Johor mempunyai acuan dan kekuatannya yang tersendiri. Kami tidak memerlukan pihak luar datang mengajar atau mentafsirkan hubungan antara Istana Johor dan rakyatnya.

“Hormatilah budaya dan sejarah negeri ini. Johor dengan cara Johor. Pemimpin dan rakyat berpisah tiada, manakala Istana Johor kekal menjadi payung serta kebanggaan Bangsa Johor,” katanya lagi.

Pada Khamis, media melaporkan maklum balas Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap teguran dan nasihat Perdana Menteri dengan mengaitkan peranan dan hubungan dengan institusi Diraja disifatkan tidak wajar dalam konteks menjawab kritikan dan teguran politik.

Mahfuz berkata, institusi Raja-Raja Melayu merupakan payung negara dan lambang perpaduan rakyat yang wajib dihormati oleh semua pihak.

Menurutnya, institusi yang begitu tinggi martabatnya tidak seharusnya dijadikan benteng atau perisai untuk mempertahankan kedudukan politik mana-mana individu.

Ujarnya, apa yang dibangkitkan Anwar adalah persoalan politik, kepimpinan dan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Maka, tambahnya, jawapan yang sepatutnya diberikan juga mestilah berasaskan fakta politik, rekod pentadbiran dan sikap kepimpinan, bukannya dengan mengheret institusi istana ke dalam polemik politik semasa. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO