Bukan Johor Batalkan… Kerajaan Negeri Ikhtiar Serah Hak Milik Tanah Peneroka

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip menafikan dakwaan bahawa arahan pembatalan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 adalah daripada Kerajaan Negeri Johor.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata tuduhan tersebut adalah fitnah, tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

“Sebagai bukti, saya kemukakan surat bertarikh 16 Jun 2026 daripada pihak FELDA kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang jelas memaklumkan mengenai pembatalan program tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 20-21 Jun 2026.

“Hakikatnya, Kerajaan Negeri Johor telah dimaklumkan oleh pihak FELDA mengenai keputusan “penangguhan” (pembatalan) Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 hanya empat hari sebelum program dijadualkan berlangsung,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Zahari berkata keputusan yang dibuat pada saat akhir ini bukan sahaja menimbulkan pelbagai kesulitan, malah mengecewakan ribuan warga peneroka dan komuniti FELDA yang telah membuat pelbagai persiapan untuk hadir dan memeriahkan sambutan berkenaan.

“Jika benar keputusan tersebut datang daripada Kerajaan Negeri Johor, mengapakah pihak FELDA pula yang mengutuskan surat rasmi kepada Menteri Besar Johor bagi memaklumkan keputusan berkenaan?

“Program Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor merupakan penganjuran bersama antara Kerajaan Negeri Johor dan FELDA Johor yang telah dirancang lebih awal, sebagai platform untuk menghargai jasa warga peneroka serta memperkukuh hubungan antara komuniti FELDA.

“Justeru, adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa Kerajaan Negeri menjadi pihak yang mengarahkan pembatalan program tersebut.

Screenshot

“Saya ingin mengingatkan pihak yang berkenaan agar menghentikan penyebaran fitnah terhadap Kerajaan Negeri Johor. Jangan sesekali mengelirukan rakyat dengan tuduhan yang tidak disokong oleh fakta,” ujar beliau.

Bagaimanapun kemaskini terbaharu di Facebook, beliau memaklumkan Kerajaan Johor sedang berikhtiar untuk meneruskan Majlis Penyerahan Hak Milik kepada 210 peneroka yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah Menteri Besar akan menyampaikan sendiri dan mungkin program ini tidak sebesar Sambutan Hari Peneroka tetapi ia tetap juga dijalankan untuk menyampaikan amanah kami kepada warga peneroka, tarikh dan tempat akan kita maklumkan dalam masa terdekat

“Apa pun terima kasih kepada warga FELDA atas kesabaran dan kepercayaan anda semua kepada kerajaan negeri,” ujar beliau.

Terdahulu, Zahari memaklumkan lebih 5,000 warga FELDA daripada 73 rancangan FELDA seluruh negeri ini sudah mengesahkan kehadiran mereka bagi menjayakan sambutan ini.

Antara pengisian utama yang dirancang termasuk penyerahan hak milik kepada seramai 210 peneroka, selain pelbagai program pembangunan komuniti, pameran agensi, aktiviti belia dan keluarga serta inisiatif kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada warga FELDA. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO