Hab P-Hailing @ D’Tebing Bukti Keprihatinan Terhadap Kebajikan Pekerja Gig
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pengerusi Majlis Gig Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menyambut baik inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan Hab P-Hailing @ D’Tebing di Bulatan Dato’ Onn, di sini sebagai langkah proaktif dalam memperkasakan kebajikan komuniti pekerja gig dan penghantar p-hailing.
Beliau berkata, kewujudan hab tersebut mencerminkan komitmen DBKL dalam mengiktiraf sumbangan besar golongan pekerja gig yang kini menjadi antara pemacu penting kepada ekonomi bandar serta sektor perkhidmatan.

Menurutnya, lokasi hab yang strategik di tengah-tengah ibu kota membolehkan para penghantar p-hailing dan pemain industri gig menikmati ruang persinggahan yang selesa untuk berehat selepas menjalankan tugasan harian.
“Saya mengalu-alukan inisiatif DBKL mewujudkan Hab P-Hailing @ D’Tebing ini kerana ia membuktikan bahawa kebajikan komuniti pekerja gig terus diberi perhatian. Kemudahan seperti ini bukan sahaja menyediakan ruang rehat yang selesa, malah menjadi simbol penghargaan terhadap peranan penting mereka dalam memastikan kelancaran perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, penyediaan hab berkenaan diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan, motivasi dan produktiviti pekerja gig, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem ekonomi gig yang lebih tersusun dan mampan.
Beliau turut berharap inisiatif tersebut dapat dijadikan model untuk diperluaskan ke lokasi-lokasi strategik lain di Wilayah Persekutuan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti pekerja gig.
Katanya, kerjasama berterusan antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan pemain industri amat penting dalam memastikan sektor ekonomi gig terus berkembang secara mampan, di samping menjaga kebajikan mereka yang menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan penghantaran dan mobiliti di negara ini. – UMNO Online
Oleh: Hj.Zanuddin Salleh
