Ziarah Kasih Pastikan Golongan Sasar Tiada Yang Terpinggir – Fuad Tukirin
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Program Ziarah Kasih yang dilaksanakan di Mukim Ayer Hitam terus membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya melibatkan golongan memerlukan dan kurang berkemampuan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Dr. Mohd Fuad Tukirin berkata, program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyantuni rakyat, malah menjadi medium untuk mengenal pasti keperluan sebenar mereka agar bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan tanpa berlakunya keciciran.
Menurutnya, Program Ziarah Kasih dilaksanakan bagi meringankan beban warga yang terdiri daripada golongan sasar melalui pendekatan turun padang dan sesi sembang santai bersama penerima.
“Program Ziarah Kasih bagi meringankan beban warga yang terdiri daripada golongan sasar sambil sembang santai dalam memastikan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan pada penerima dan tiada berlaku keciciran.
“Sumbangan katil pesakit serta kerusi roda khusus bagi membantu memudahkan urusan harian warga berkenaan dan keluarga, di samping memastikan proses rawatan berjalan dengan lebih selesa. Semoga sumbangan yang kecil ini membawa impak yang besar buat mereka sekeluarga.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan, memudahkan segala urusan berkenaan terutamanya kepada golongan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, bantuan yang disampaikan itu merupakan usaha berterusan Pejabat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, terutama mereka yang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan sokongan peralatan perubatan.
Dalam masa yang sama, Fuad menerima pelbagai aduan daripada penduduk mengenai isu semasa termasuklah keadaan jalan raya yang rosak di kawasan Bukit Naning.
“Terdapat lopak air yang bertakung di lokasi terbabit dan permukaan jalan yang tidak rata sememangnya mampu mengundang bahaya kepada pengguna laluan berkenaan terutama ketika waktu malam kerana kawasan tersebut agak gelap.
“Insya-Allah… saya akan terus berusaha sedaya upaya dengan menghubungi pihak berkenaan dan menggerakkan segala langkah yang boleh diambil demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta keselesaan seluruh masyarakat di sini,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan kepada penduduk agar terus prihatin dan segala permasalahan yang dihadapi terus mengadu ke pusat khidmat. – UMNO Online
