Maklum Balas Positif, Warden Bekas Tentera Bakal Ditempatkan Di Seluruh MRSM – Pengerusi MARA

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera di seluruh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebook dan Threads memaklumkan perkara tersebut diputuskan susulan maklum balas positif yang diterima mengenai Projek Rintis Perlantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera sebelum ini.

“Menerima secara rasmi laporan lengkap Kajian Keberkesanan Projek Rintis Perlantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan Balik Pulau daripada Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Antara dapatan utama kajian yang dicatatkan dalam buku Laporan setebal 191 muka surat ini, antaranya warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama selain penerimaan positif daripada pelajar, ibubapa serta pentadbir.

“Selain itu, kehadiran warden yang kerap dan sistematik meminimumkan ruang berlakunya buli serta vandalisme. Pelajar juga merasa selamat dan lebih berdisiplin dalam mematuhi waktu, kekemasan diri, asrama, mencanai nilai hormat serta adab,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kehadiran warden dari kalangan bekas tentera turut mengurangkan beban guru dan tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik.

“Di samping itu, kehadiran warden dari kalangan bekas tentera ini mampu memperkukuh dimensi kerohanian pelajar dengan keterlibatan langsung warden dalam aktiviti keagamaan.

“Ia juga dapat mengurangkan beban guru dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah.

“Hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu yang terkait dengan masalah disiplin pelajar, malah isu buli sepanjang keberadaan warden ini hampir sifar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta pihak UPM untuk bekerjasama bagi menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu dan melanjutkan kajian mengenai isu buli mental secara holistik.

“Berdasarkan laporan positif kajian ini, MARA akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera di kesemua 58 MRSM di seluruh Malaysia.

“Saya juga meminta pihak UPM bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu ini dan melanjutkan kajian untuk menangani isu buli mental secara holistik.

“Terima kasih dan penghargaan buat seluruh pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian menyeluruh dan amat bermanfaat buat MARA juga MRSM,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO