Peranan Anak Muda Penting, Pastikan Jentera Parti Sentiasa Proaktif

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berpandangan bahawa peranan anak muda penting untuk memastikan jentera parti sentiasa proaktif.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Fariz Hazurin memaklumkan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian Subang yang berlangsung semalam memberi fokus kepada persediaan dan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“Malam tadi telah selesai Mesyuarat AJK Pemuda UMNO Bahagian Subang. Antara fokus utama perbincangan adalah persediaan dan gerak kerja menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Sebagai sayap pemuda, kami menyedari bahawa peranan anak muda amat penting dalam memastikan jentera parti sentiasa bersedia, tersusun dan mampu mendekati masyarakat dengan lebih efektif,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap agar segala perancangan dirangka dapat dilaksanakan sebaiknya demi memastikan kemenangan parti di kedua-dua negeri tersebut.

“Terima kasih kepada seluruh barisan AJK Pemuda UMNO Subang yang hadir dan memberikan komitmen sepanjang mesyuarat.

“Semoga segala perancangan yang dirangka dipermudahkan dan membuahkan hasil yang terbaik. Bersatu dalam perjuangan. Teguh dalam kesetiaan,” katanya.

Untuk rekod, pada 12 Jun 2026, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan dibuat secara berasingan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai.

Manakala, tarikh pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pula ditetapkan pada 1 Ogos.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN Johor masing-masing ditetapkan pada 27 Jun dan 7 Julai.

Bagi penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pula masing-masing ditetapkan pada 18 Julai dan 28 Julai. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO