Wanita UMNO Sabah Perkukuh Gerak Kerja Organisasi Hadapi Cabaran Politik Mendatang
KOTA KINABALU, 17 Jun – Wanita UMNO Sabah terus memperkukuhkan gerak kerja organisasi dan kesiapsiagaan jentera bagi memastikan parti kekal dekat dengan rakyat serta mampu menyampaikan aspirasi perjuangan secara lebih berkesan menjelang pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, fokus tersebut menjadi antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Negeri Sabah Bil. 3/2026 yang berlangsung di Bangunan UMNO Negeri Sabah, baru-baru ini.

Menurut beliau, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris itu turut memberi penekanan kepada penyelarasan gerak kerja Wanita UMNO Sabah dalam menghadapi landskap politik semasa termasuk persediaan menuju PRU-16 serta beberapa pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.
“Wanita UMNO Sabah komited untuk terus memperkukuhkan organisasi di semua peringkat, memperkasakan jentera wanita serta meningkatkan keupayaan mendekati rakyat bagi memahami keperluan mereka dan menyampaikan aspirasi parti dengan lebih berkesan.
“Dalam era komunikasi digital yang semakin berkembang, jentera Wanita UMNO juga perlu memanfaatkan pelbagai platform media dan teknologi komunikasi bagi memastikan maklumat yang tepat serta rekod pencapaian parti dapat disampaikan secara meluas kepada masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, kekuatan organisasi yang tersusun, disiplin gerak kerja yang mantap serta hubungan yang erat dengan rakyat akan menjadi faktor penting dalam memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus mendapat keyakinan rakyat.

Mesyuarat berkenaan turut menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa yang hadir atas komitmen dan pandangan yang diberikan dalam merangka strategi memperkukuhkan peranan Wanita UMNO sebagai penggerak utama parti di peringkat akar umbi.
“Wanita UMNO akan terus menjadi nadi perjuangan parti dengan mendahulukan khidmat kepada rakyat, memperkukuhkan jaringan akar umbi serta memastikan setiap agenda perjuangan dapat diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online
