Penerangan UMNO Perlu Perkasa Strategi Digital, Perhebat Naratif Kebaikan Parti

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Jentera Penerangan UMNO Malaysia di semua peringkat diseur agar memperhebat usaha komunikasi, media dan platform digital dalam menyampaikan naratif serta kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan.

Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaakob berkata, setiap jentera penerangan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memanfaatkan medium komunikasi moden bagi memastikan maklumat yang tepat dan sahih sampai kepada rakyat.

“Penerangan UMNO Malaysia menyambut baik usaha memperkukuhkan gerak kerja parti dan menekankan supaya setiap jentera penerangan turut mewar-warkan kebaikan UMNO dan BN di kawasan masing-masing, di samping membawa tawaran terbaik kepada para pengundi,” katanya.

Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang menegaskan bahawa BN mempunyai trek rekod yang terbukti dalam membawa pembangunan, mewujudkan kestabilan politik, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat sejak sekian lama, dan perkara itu perlu terus diterangkan kepada masyarakat secara berfakta dan berkesan.

“BN bukan parti yang hanya menawarkan janji. BN mempunyai trek rekod yang terbukti dalam membangunkan negara dan negeri-negeri yang ditadbirnya. Rekod inilah yang perlu diketengahkan kepada rakyat agar mereka dapat membuat penilaian berdasarkan fakta dan pencapaian sebenar,” katanya.

Menurut beliau, landskap politik masa kini memerlukan pendekatan penerangan yang lebih dinamik melalui penggunaan media sosial, platform digital dan rangkaian komunikasi yang berkesan bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat, khususnya pengundi muda.

“Jentera penerangan juga perlu memperkukuhkan penguasaan dalam bidang komunikasi strategik, pengurusan media serta penyampaian kandungan digital agar mesej parti dapat disampaikan secara pantas, tepat dan berimpak tinggi.

Katanya, gabungan gerak kerja lapangan dan platform digital akan menjadi aset penting dalam menghadapi PRN, sekali gus memastikan segala dasar, inisiatif dan kejayaan kerajaan yang diterajui UMNO dan BN dapat difahami oleh rakyat.

Beliau yakin kesepaduan jentera penerangan, pasukan komunikasi dan media di semua peringkat akan menjadi kekuatan utama dalam memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN sebagai sebuah gabungan yang berpengalaman, stabil serta mempunyai rekod pencapaian yang jelas dalam mentadbir dan membangunkan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO