Selamat Menyambut Awal Muharram, Terjemah Semangat Hijrah Melalui Tindakan

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat Malaysia menjadikan sambutan Awal Muharram 1448H sebagai medan muhasabah dan titik permulaan untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Dalam perutusan sempena Maal Hijrah, beliau berkata semangat hijrah bukan sekadar ungkapan atau slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui usaha, disiplin dan kesungguhan dalam memperbaiki diri serta masyarakat.

“Maal Hijrah mengingatkan kita bahawa perubahan tidak berlaku dengan kata-kata semata-mata, tetapi melalui usaha, disiplin dan kesungguhan untuk menjadi lebih baik daripada semalam,” katanya.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, peristiwa hijrah turut mengajar umat Islam mengenai nilai pengorbanan, ketabahan dan kecekalan dalam menghadapi cabaran kehidupan yang sentiasa berubah.

Ahmad Zahid berkata nilai-nilai tersebut perlu dijadikan pedoman dalam aspek kepimpinan, pekerjaan serta khidmat kepada masyarakat bagi memastikan pembangunan negara terus bergerak ke hadapan.

“Dalam dunia yang sentiasa berubah, semangat hijrah menuntut kita untuk berani melakukan pembaharuan, memperbaiki kelemahan serta terus berusaha memberikan yang terbaik demi kemajuan bersama,” ujarnya.

Beliau berharap tahun baharu Hijrah ini dapat mengukuhkan tekad seluruh rakyat untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan komitmen dalam berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

“Semoga tahun baharu Hijrah ini menguatkan tekad kita untuk terus melaksanakan amanah dengan ikhlas, memperkukuh perpaduan dan berkhidmat sebaiknya demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram 1448H kepada seluruh umat Islam di negara ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO