‘Tok Ajak’ Hargai Pengorbanan “Pejuang Laut” Cari Rezeki
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Prihatin terhadap kebajikan dan keselamatan komuniti nelayan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman meluangkan masa beramah mesra bersama nelayan daripada empat jeti pengkalan di dalam kawasan DUN Telok Mas, petang semalam.
Abdul Razak yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka berkata, pertemuan berkala bersama golongan nelayan telah menjadi amalan yang sentiasa diberi perhatian bagi memastikan suara dan keperluan mereka terus didengari.
Menurut beliau, setiap empat hingga lima bulan sekali beliau akan turun padang untuk bertemu dan berbincang secara langsung dengan nelayan yang disifatkannya sebagai “pejuang laut” yang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sumber makanan negara.
“Memang sudah menjadi kebiasaan saya untuk duduk bersama nelayan-nelayan di kawasan ini, bertanya khabar dan mendengar sendiri pandangan serta cabaran yang mereka hadapi.< “Mereka adalah golongan yang bekerja dalam keadaan mencabar demi mencari rezeki halal untuk keluarga. Pengorbanan mereka wajar dihargai dan diberi perhatian,” katanya. Dalam pertemuan tersebut, beliau turut mengingatkan para nelayan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. “Nasihat saya sentiasa sama, jaga diri dan jaga keselamatan sepanjang mencari rezeki di laut. Rezeki itu penting, tetapi keselamatan diri mesti menjadi keutamaan,” ujarnya. Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menjadi penghubung antara komuniti nelayan dan pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan serta pembangunan sektor perikanan di Telok Mas terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat setempat. Pertemuan santai tersebut turut mencerminkan pendekatan kepimpinan UMNO yang sentiasa dekat dengan rakyat, khususnya golongan nelayan yang menjadi antara nadi penting ekonomi pesisir pantai di Melaka.- UMNO Online
