ELSA: Bentuk Penyertaan Bernilai Tinggi Diperlukan Agenda Ekonomi Nasional
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah menyifatkan ELSA sebagai sebuah bentuk penyertaan bernilai tinggi yang diperlukan oleh agenda ekonomi nasional.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah hadir ke majlis penyenaraian saham terbitan awam (IPO) ELSA Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

“Hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi pasaran modal Malaysia. Pagi ini, saya menghadiri majlis penyenaraian IPO ELSA Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia, sebuah syarikat kawalan Bumiputera yang merupakan penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu di bawah naungan TERAJU.
“ELSA menggabungkan lebih dua dekad pengalaman industri dengan portfolio merangkumi perkhidmatan ladang minyak, penyelesaian digital, robotik dan pengurusan bakat.
“Berharga RM0.23 sesaham dengan anggaran permodalan pasaran RM123.8 juta, IPO ini ditaja-lebih sebanyak 26 kali, isyarat kukuh kepercayaan pelabur,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak di atas pencapaian tersebut.
“Kisah ELSA mencerminkan sesuatu yang lebih besar: kemunculan generasi baharu perusahaan Bumiputera yang memposisikan diri di persimpangan tenaga, teknologi dan pasaran modal. Inilah bentuk penyertaan bernilai tinggi yang diperlukan oleh agenda ekonomi nasional kita.
“Tahniah kepada pasukan ELSA Berhad, TERAJU dan Malacca Securities atas pencapaian ini,” katanya lagi. – UMNO Online
