Kerjasama Politik Tuntut Sikap Menghormati, Bukannya Tonjol Dominasi – Armand

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berpandangan penting untuk semua pihak memahami bahawa Kerajaan Perpaduan yang wujud hari ini adalah hasil kerjasama pelbagai parti politik yang memilih jalan kestabilan dan kesederhanaan demi rakyat serta negara.

Katanya tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa bahawa kerajaan ini terbentuk hasil kekuatan satu parti semata-mata atau menafikan peranan rakan-rakan yang turut menyumbang kepada pembentukannya.

“Sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan negara dan pengalaman mentadbir Malaysia selama beberapa dekad, BN berhak untuk menyuarakan pandangan serta pendiriannya dalam apa jua isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

“Hak tersebut bukan sahaja selaras dengan prinsip demokrasi, malah merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.

“Walaupun BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, perkara itu tidak bermaksud BN perlu mengorbankan identiti, prinsip dan pendiriannya terhadap sesuatu isu.

“Sebaliknya, hubungan dalam kerajaan hendaklah dibina atas asas saling menghormati, saling
mempercayai dan mengiktiraf peranan setiap parti yang menjadi rakan kerjasama politik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah peranan BN boleh diperkecilkan atau diketepikan adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan semangat sebenar Kerajaan Perpaduan.

Katanya ini kerana politik yang matang menuntut setiap pihak menghormati sumbangan serta kekuatan rakan-rakan dalam gabungan, bukannya cuba menonjolkan dominasi atau kelebihan politik secara berlebihan.

“BN akan terus memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kestabilan kerajaan, memacu pembangunan negara dan membela kepentingan rakyat.

“Namun pada masa yang sama, BN akan terus mempertahankan hak untuk menyatakan pandangan secara terbuka dan berprinsip apabila melibatkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan negara, rakyat serta masa depan demokrasi.

“Kerjasama politik yang kukuh hanya dapat dipertahankan apabila semua pihak saling menghormati antara satu sama lain. Dalam sebuah kerajaan yang dibentuk melalui persefahaman dan kerjasama, rasa hormat bukanlah satu pilihan, tetapi satu keperluan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO