EPMB Tambah Pelaburan RM200 Juta, Melaka Terus Jadi Tumpuan Pelabur
ALOR GAJAH, 16 Jun – Kerajaan Negeri Melaka hari ini menyambut satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan sektor perindustrian apabila berlangsungnya Majlis Pecah Tanah Fasiliti Pengecatan Badan Kenderaan (Painting Line) milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) di HICOM Pegoh, Alor Gajah.
Projek strategik bernilai RM200 juta itu merupakan fasiliti pengecatan badan kenderaan pertama dibangunkan oleh EPMB di Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan Melaka sebagai antara hab automotif yang semakin berkembang di negara ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pelaburan berkenaan mencerminkan keyakinan tinggi sektor industri terhadap keupayaan dan potensi negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama.
“Pemilihan Melaka bagi pelaburan strategik ini membuktikan keyakinan syarikat-syarikat terhadap kestabilan politik, kemudahan infrastruktur, kecekapan pentadbiran serta dasar mesra pelabur yang dilaksanakan Kerajaan Negeri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurut beliau, projek yang dibangunkan di atas kawasan seluas 16,000 meter persegi itu mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 60,000 unit kenderaan setahun dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2027.
Katanya, fasiliti tersebut juga bakal mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan, khususnya dalam bidang automotif, kejuruteraan, automasi dan teknologi industri.
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak-anak Melaka dalam sektor automotif dan teknologi,” katanya.

Fasiliti moden itu turut dilengkapi teknologi robotik dan automasi terkini, selain menggunakan cat berasaskan air serta sistem semburan kering tanpa sisa lumpur yang mampu mengurangkan sisa industri sehingga 80 peratus.
“Penggunaan teknologi hijau dan sistem pengeluaran moden yang diterapkan dalam projek ini selaras dengan aspirasi pembangunan mampan serta komitmen Melaka ke arah industri yang lebih lestari dan berdaya saing,” ujar beliau lagi. – UMNO Online
