Pelaksanaan PuTERA35 Capai 64.6 Peratus, Kerajaan Terus Perkukuh Agenda Pembangunan Bumiputera
PUTRAJAYA, 16 Jun – Pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) kini mencapai tahap kemajuan sebanyak 64.6 peratus dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan Bumiputera diterjemahkan kepada hasil yang nyata serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata menerusi hantaran di laman Facebooknya demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bagi meneliti perkembangan pelaksanaan PuTERA35 serta beberapa agenda berkaitan pembangunan Bumiputera, semalam.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut membincangkan beberapa resolusi yang dikemukakan menerusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang berlangsung pada 1 Mei lalu, termasuk cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara.
“Agenda pembangunan ekonomi Bumiputera perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkasa pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan bakat serta melahirkan lebih ramai huffaz profesional akan terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada usaha membentuk generasi yang mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi, masyarakat dan negara.
Kerajaan, katanya, akan terus komited dalam memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera secara menyeluruh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara inklusif dan mampan menjelang tahun 2035. – UMNO Online
