Pendidikan Jalan Terbaik Ubah Masa Depan Generasi Muda – Samasuddin Yusop

KALABAKAN, 16 Jun – Pendidikan merupakan jalan terbaik untuk mengubah masa depan seseorang, keluarga dan masyarakat, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Samasuddin Yusop ketika menyampaikan sumbangan pendidikan kepada anak-anak muda yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), hari ini.

Beliau berkata, dalam dunia yang semakin mencabar dan kompetitif, ilmu pengetahuan menjadi kunci utama untuk membuka peluang yang lebih luas serta meningkatkan taraf kehidupan.

Menurutnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, generasi muda perlu menjadikan pendidikan sebagai keutamaan kerana ia bukan sahaja membantu membina kerjaya yang lebih baik, malah mampu mengubah nasib keluarga untuk jangka panjang.

“Saya percaya pendidikan adalah jalan terbaik untuk mengubah masa depan keluarga. Dengan pendidikan, seseorang bukan sahaja dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri, malah mampu membantu keluarga dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” katanya.

Samasuddin berkata, kejayaan dalam pendidikan memerlukan kesungguhan, disiplin dan semangat yang tinggi, namun setiap usaha yang dilakukan hari ini akan menjadi pelaburan berharga untuk masa depan.

Beliau turut menyeru para pelajar agar terus mengejar impian dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pengajian.

“Jangan sesekali membataskan impian kerana latar belakang atau kesukaran yang dihadapi. Ilmu adalah aset yang tidak boleh dirampas dan ia akan terus memberi manfaat sepanjang hayat. Teruskan belajar, berusaha dan yakin bahawa masa depan yang lebih baik sedang menanti,” ujarnya.

Beliau pada masa sama mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT dan berharap mereka dapat memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin demi mencapai kejayaan serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

Katanya, pendidikan adalah pelaburan paling bernilai kerana ia mampu melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing yang akan menjadi pemacu kemajuan negeri dan negara pada masa hadapan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO