Dakwaan ‘Tangan MB Digari Dap’ Tidak Berasas, Prestasi Kerajaan Perak Bukti Komitmen

IPOH, 16 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Iqbal Jamal Jamaludin, membidas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad seolah-olah “terikat” atau “digari” Dap dalam pentadbiran negeri, dengan menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasaskan fakta dan sekadar ulangan naratif politik lama.

Menurut beliau, pelbagai pencapaian kerajaan negeri di bawah pimpinan Saarani membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran Perak, khususnya dalam aspek kebajikan rakyat dan pembangunan umat Islam.

Antara yang disentuh beliau ialah peningkatan keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak yang membabitkan hampir 5,000 ekar, sekali gus memperlihatkan usaha kerajaan negeri dalam mempertahankan aset strategik orang Melayu.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa peruntukan hal ehwal Islam di negeri itu terus meningkat setiap tahun, termasuk peruntukan pembaikan masjid yang kini mencecah RM15 juta setahun berbanding RM10 juta sebelum ini.

Iqbal juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri memperkenalkan insentif RM1,000 kepada setiap jemaah haji dari Perak, yang disifatkan sebagai inisiatif pertama seumpamanya di negeri tersebut.

“Dalam masa sama, pembangunan institusi pendidikan Islam turut diperkukuhkan melalui penubuhan lima Sekolah Tahfiz Darul Ridzuan di lima daerah.”

Beliau turut menyatakan bahawa jumlah keseluruhan peruntukan untuk umat Islam di Perak kini mencecah RM130.8 juta, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan agenda Islam dan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya Menteri Besar Perak “terikat” dengan Dap, dengan menyifatkan ia sebagai tuduhan politik berulang yang tidak disokong fakta kukuh.

“Apa yang sebenarnya MB kena ‘gari’? Semua ini hanya isu lama yang diulang. Jika mahu mengkritik, gunakan fakta baharu, bukan sekadar persepsi politik,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat tanpa terpengaruh dengan naratif politik yang tidak berasas. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO