Disiplin Organisasi, Komitmen Jentera Kunci Kejayaan BN Hadapi PRN – Rosni

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Setiausaha Wanita Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Rosni Sohar meneruskan siri gerak kerja persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau pada hujung minggu lalu dengan turun padang ke Johor dan Negeri Sembilan menyampaikan taklimat kepada jentera Wanita.

“Semalam (Sabtu) di Johor, hari ini (Ahad) di Negeri Sembilan. Saya berkesempatan menyampaikan taklimat kepada Jentera Utama Wanita BN Negeri Sembilan sebagai persediaan menghadapi (PRN) Negeri Sembilan yang bakal menjelang.

“Taklimat ini menghimpunkan seluruh Ketua Wanita UMNO Bahagian Negeri Sembilan bagi menyelaras gerak kerja, memperkukuh organisasi serta memperkemaskan strategi menghadapi medan demokrasi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Rosni dalam pada itu menzahirkan keyakinan bahawa kesepaduan saf kepimpinan, disiplin organisasi dan komitmen seluruh jentera akan menjadi faktor penting dalam memastikan kejayaan BN pada pilihan raya akan datang.

“Tahniah dan syabas kepada Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan merangkap ADUN Juasseh, atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam menyatu serta menggerakkan jentera wanita di seluruh negeri sebagai satu pasukan yang mantap, tersusun dan bersedia untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan.

“Insya-Allah, dengan kesepaduan saf, disiplin organisasi dan kerja keras seluruh jentera, Wanita Barisan Nasional akan terus menjadi tulang belakang perjuangan parti demi memastikan kemenangan yang cemerlang di Negeri Sembilan,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor Ke-16, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai.

Sementara itu bagi PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos sebagai hari pengundian, dengan penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO