UMNO Kenal Siapa yang Layak Dijadikan Rakan Politik – Ruzaini Rais
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menegaskan keterbukaan parti terhadap sebarang bentuk kerjasama politik membuktikan bahawa UMNO kekal berpegang kepada prinsip perjuangan serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, keputusan MKT UMNO itu memperlihatkan bahawa parti berkenaan mempunyai pendirian yang jelas dalam menentukan hala tuju politiknya.

Menurut beliau, UMNO sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak, namun ia mestilah berasaskan keikhlasan, kepercayaan dan matlamat bersama demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat, bukannya sekadar memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.
“Siapa sahaja boleh menjadi rakan UMNO dengan syarat kerjasama itu dibina atas asas kepercayaan dan keikhlasan. Apa yang lebih penting ialah kestabilan negara dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyifatkan perkembangan semasa yang menyaksikan pelbagai parti politik begitu memberi perhatian terhadap keputusan UMNO mengenai soal kerjasama politik sebagai bukti bahawa parti itu masih mempunyai nilai strategik dalam landskap politik negara.
Katanya, walaupun terdapat pihak yang sering mengkritik, menyerang dan mengulas mengenai UMNO, mereka pada masa yang sama dilihat masih mengharapkan parti tersebut menjadi rakan politik mereka.
“Jika benar UMNO sudah tidak relevan seperti yang sering didakwa oleh sesetengah pihak, mengapa mereka begitu gelisah dan mengambil berat terhadap setiap keputusan yang dibuat oleh UMNO?” soal beliau.
Dalam masa yang sama, Ruzaini menolak dakwaan bahawa UMNO bersikap perkauman hanya kerana tidak memilih pihak tertentu sebagai rakan politik.
Tegas beliau, UMNO mempunyai rekod panjang dalam memperjuangkan perpaduan kaum dan kestabilan negara selama lebih enam dekad, selain konsisten menentang fahaman ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk.
Beliau juga menegaskan bahawa UMNO tidak memerlukan mana-mana pihak luar untuk menentukan dengan siapa parti itu harus bekerjasama kerana parti berkenaan mempunyai saluran demokrasi, kepimpinan dan keahlian yang matang untuk membuat keputusan terbaik.
“UMNO mempunyai keupayaan untuk menentukan masa depannya sendiri. Segala keputusan dibuat melalui proses demokrasi parti demi kepentingan UMNO, rakyat dan negara,” katanya.
Mengulas sikap sesetengah pihak yang dilihat sering menyerang UMNO tetapi pada masa sama menghantar isyarat mahu bekerjasama, beliau berkata keadaan itu menunjukkan bahawa serangan yang dilakukan selama ini lebih bermotifkan kepentingan politik berbanding prinsip.
Menurutnya lagi, terdapat parti yang sanggup menghentikan serangan terhadap UMNO apabila memerlukan sokongan parti itu, namun kembali melancarkan kritikan apabila hasrat mereka tidak tercapai.
Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO akan terus bergerak berlandaskan prinsip perjuangannya sendiri tanpa dipengaruhi tekanan mana-mana pihak.
“Keutamaan UMNO bukan untuk memuaskan hati mana-mana parti politik, sebaliknya memastikan kestabilan negara, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus terjamin,” katanya lagi. – UMNO Online
