Ahmad Maslan Turun Padang Ke Johor, Tumpu Persiapan PRN

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berbesar hati turun padang ke beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada hujung minggu ini ke Ledang bagi bertemu jentera di samping meninjau gerak kerja.

“Bahagian Ledang bersedia untuk kekalkan DUN Gambir, pertahan DUN Serom dan tawan DUN Tangkak. Datuk Abdul Rahim Talib yang mengepalai jentera sangat komited.

“Semoga segalanya berjalan lancar. Dengan rendah diri kami mohon sokongan pengundi semua kaum bagi kemenangan BN,” katanya.

Sementara itu beliau turut sama turun padang ke Kulai sebelum ke Sembrong bagi bertemu kepimpinan bahagian, jentera dan menyelaras gerak kerja pilihan raya.

Beliau turut sama meluahkan keyakinan bahawa komitmen berterusan jentera parti dalam mendekati rakyat akan menjadi faktor penting dalam memastikan kemenangan UMNO/BN pada PRN ini.

“Strategi yang berkesan menghasil kejayaan. Kata Sun Tzu – ketahui dirimu, ketahui musuhmu, seribu peperangan, seribu kejayaan.

“Bahagian Kulai di bawah Datuk Mohd Jafni Md Shukor bersedia sudah lama untuk kekalkan DUN Bukit Permai, tawan DUN Bukit Batu dan DUN Senai.

“BN telah mendekati rakyat, membantu mereka selama empat tahun tiga bulan tanpa henti. Insya-Allah akan diingati dan beroleh kemenangan.

“Jelajah Orang Johor JOJ di DUN Kahang, Sembrong pagi ini, Ahad bersama Datuk Abdul Ghani Rashid, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, AJK Bhg, mantan ADUN.

“Di Johor ada banyak aktiviti bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi. Dari Subuh sampai ke malam dan akiviti ini bukan hanya hampir PRN. Sudah lama aktiviti bersama rakyat dibuat secara berterusan,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRN Johor Ke-16, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO