BN Fokus Menang PRN Johor, Negeri Sembilan, Logo Dacing Kekal Jadi Pilihan – Zambry

JOHOR BAHRU, 14 Jun – Mesyuarat Agung Tahunan Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor telah menzahirkan iltizam dan kesepakatan kepimpinan BN dalam memperkukuh parti, menjamin kestabilan politik negara serta merangka strategi terbaik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sejajar dengan semangat tersebut, mesyuarat telah memutuskan beberapa ketetapan utama yang akan menjadi panduan gerak kerja dan hala tuju BN pada masa kini dan masa hadapan.

“PRN Johor dan Negeri Sembilan menjadi fokus utama BN, dengan seluruh jentera parti digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan.

“BN akan terus memperkukuh kesatuan parti komponen BN dan Friends of BN demi menjamin kestabilan politik dan membina pentadbiran yang diyakini rakyat.

“BN memuktamadkan pendirian untuk bertanding menggunakan logo dacing dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu kenyataan media selepas Mesyuarat Agung Tahunan BN malam tadi.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menjelaskan, pendekatan itu merupakan usaha berterusan BN untuk memperluaskan jaringan sokongan semua golongan.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan Keahlian Terus BN (BN Direct Membership) bagi menarik penyertaan golongan profesional, anak muda dan masyarakat keseluruhannya berdasarkan Fasal 6.4 Perlembagaan Barisan Nasional.

“BN komited mendukung Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal demi memastikan kestabilan negara, keyakinan pelabur dan kelangsungan agenda pembangunan,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO