Jemputan Melalui Pentas Politik, Onn Hafiz Persoalkan Keikhlasan
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan rasa terharu namun pada masa sama mempersoalkan keikhlasan jemputan yang diterima daripada Menteri Pengangkutan untuk menghadiri pelaksanaan projek KTM Komuter yang dijadualkan berlangsung pada Selasa depan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Johor sentiasa menyokong segala inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dan tidak pernah melihat projek berkaitan pengangkutan awam sebagai medan kerjasama politik, sebaliknya sebagai tanggungjawab bersama demi kesejahteraan Bangsa.
“Saya berasa terharu dan lega kerana akhirnya, saya dan kerajaan negeri Johor mendapat jemputan yang “ikhlas” daripada Menteri Pengangkutan untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insya-Allah akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut. Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor bukan kerjasama politik.
“Saya masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi dan butiran program daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk saya hadir mewakili kerajaan negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Bagaimanapun, Onn Hafiz memaklumkan sehingga kini pejabat beliau masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi mahupun butiran lengkap program daripada pihak Kementerian Pengangkutan, meskipun jemputan tersebut telah diumumkan kepada umum.
Tambah Onn Hafiz, hanya mengetahui mengenai jemputan berkenaan melalui laporan media yang memetik kenyataan Menteri Pengangkutan ketika pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada malam sebelumnya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengimbau beberapa program rasmi melibatkan Kementerian Pengangkutan sebelum ini yang didakwa berlangsung tanpa penyertaan Kerajaan Negeri Johor, termasuk lawatan ke CIQ pada Januari 2023, pengumuman berkaitan Vehicle Entry Permit (VEP) pada September dan Oktober 2024, serta lawatan ke projek ETS Segamat pada Mac 2025.
“Situasi sama turut berlaku ketika lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link pada April lalu apabila Kerajaan Negeri sekali lagi tidak dijemput, sedangkan beberapa pemimpin Dap Johor dilihat hadir dalam program tersebut.
“Apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi kementerian, saya dimaklumkan bahawa jemputan hanya melibatkan pihak vendor atau pembekal. Namun timbul persoalan sama ada pemimpin-pemimpin DAP yang hadir itu juga merupakan vendor atau pembekal,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan serta membalut tren, selain menyediakan perkhidmatan bas pengantara melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan kos operasi sekitar RM86,000.
Ujarnya, Kerajaan Negeri turut menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 bagi memastikan keselesaan pengguna yang bakal memanfaatkan perkhidmatan berkenaan.
“Perkongsian ini bukan bertujuan untuk menuntut kredit, tetapi sekadar memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan. Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan,” jelasnya.
Tegas beliau, projek pembangunan dan kemudahan awam tidak seharusnya dimonopoli oleh mana-mana parti politik kerana ia merupakan amanah yang perlu dilaksanakan secara profesional demi kepentingan rakyat.
“Bagi saya, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuk DAP. Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat serta kesenangan rakyat.
“Saya menunggu surat jemputan rasmi dan butiran program. Insya-Allah, saya akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut,” tegasnya lagi. – UMNO Online
