Biarlah Yang Ada Dalam Hati Itu Harimau, Yang Keluar Hanya Kambing’, Ahmad Zahid Ingatkan Pemimpin Dap
KUALA LUMPUR, 13 Jun – Pemimpin Dap di ingatkan belajar menghormati rakan kerjasama politik dan tidak mengeluarkan kenyataan meluru, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO berkata, setiap rakan kongsi dalam landskap politik hari ini perlu sentiasa menghormati prinsip kebersamaan dan menjaga sensitiviti antara satu sama lain.
“Mereka harus belajar untuk menghormati kawan-kawan. Jangan keluar perkataan-perkataan secara semberono.
“Saya tidak fikir mereka (pemimpin Dap) bersikap begitu dan mereka mesti menghormati prinsip-prinsip perkongsian di dalam politik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara Ke-4 (The 4th Southeast Asian Scholars Conference 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) merangkap Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong, berkata UMNO bertindak hipokrit dan angkuh susulan pendirian UMNO Johor yang dilaporkan mahu bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tanpa kerjasama dengan Dap.
Kah Leong, berkata tindakan UMNO Johor itu bercanggah dengan realiti politik semasa memandangkan parti terbabit masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kepemimpinan Dap perlu lebih matang dalam menuturkan pandangan bagi mengelakkan perpecahan.
“Rakan kongsi politik harus jaga hati, yang penting jaga lidah supaya tidak keluar apa yang ada dalam hati.
“Biarlah yang ada dalam hati itu ‘harimau’ yang keluar itu hanya ‘kambing’. Itulah yang patut dipelajari oleh mereka,” katanya. BH Online
