Bakul Kasih Johor Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri – Najib

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Program Bakul Kasih Johor terus menjadi antara inisiatif penting Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan, khususnya golongan kurang berkemampuan, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang ditimpa musibah.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri berkata inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Bakul Kasih Johor bukan sekadar bantuan berbentuk keperluan asas, malah menjadi simbol keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang sedang berdepan pelbagai cabaran kehidupan.

“Ia mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan dan perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni beberapa keluarga menerusi program Ziarah Bakul Kasih Johor di sekitar Parit Yaani Tengah dan Parit Senah, semalam.

Dalam pada itu, Najib turut berharap bantuan yang disalurkan mampu memberikan sedikit kelegaan kepada penerima selain menyuntik semangat untuk terus tabah menghadapi ujian.

“Semoga mereka yang sedang diuji diberikan kesabaran dan kekuatan, manakala yang kurang sihat dikurniakan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT,” ujarnya.

Program Bakul Kasih Johor dilihat terus memainkan peranan signifikan sebagai jaringan keselamatan sosial negeri, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi agenda utama pembangunan Johor.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO