Rumah Bangsa Jadi Pilihan Utama Generasi Muda Dan Bekas Ahli – Nurul Amirah

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusof menzahirkan rasa syukur apabila inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat yang mahu kembali bersama perjuangan parti.

Menurut beliau, kejayaan merekodkan kemasukan puluhan ribu ahli baharu dalam tempoh singkat membuktikan UMNO masih mempunyai tempat yang kukuh di hati rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda dan bekas ahli yang ingin kembali menyumbang kepada perjuangan parti.

“Alhamdulillah… Rumah Bangsa terus menjadi pilihan utama rakyat, khususnya generasi muda dan bekas ahli yang mahu kembali ke pangkuan parti. Seramai 21,858 orang telah menyertai UMNO sejak sistem pendaftaran atas talian dibuka pada 20 April 2026 dan ini angka yang memberangsangkan dalam tempoh kurang dua bulan.

“Ini menunjukkan UMNO di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semakin relevan dan inklusif. Rumah Bangsa bukan sekadar slogan, tetapi ini adalah realiti. Rumah Bangsa terus jadi pilihan kerana ia adalah rumah yang penuh kasih sayang, perpaduan dan harapan untuk masa depan Malaysia. Mari kita isi rumah ini dengan semangat juang yang tidak pernah padam.

“Ia menjadi satu medium terbuka yang menyatukan keluarga besar Melayu, termasuk bekas pimpinan PPBM yang kembali dengan semangat perjuangan yang sama iaitu mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah beliau, dengan kepulangan bekas pemimpin dan ahli akan tambah kekuatan. Ini bukti bahawa UMNO adalah rumah yang sentiasa mengalu-alukan kepulangan keluarga dan anak-anaknya.

Mengulas lanjut, Nurul Amirah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Majsid Tanah berkata sambutan yang diterima melalui pendaftaran keahlian secara dalam talian menunjukkan UMNO semakin berjaya mendekati generasi muda memahami aspirasi mereka.

“Anak muda adalah tulang belakang ‘movement” ini. Ramai yang menyertai melalui platform digital menandakan UMNO berjaya mendekati generasi yang mahukan perubahan, ketelusan dan kepimpinan yang dinamik.

“Kami di peringkat negeri Melaka akan terus menggerakkan program santuni komuniti, ekonomi anak muda dan penglibatan wanita muda supaya mereka bukan sahaja sertai parti, tetapi aktif membawa perubahan,” katanya lagi.

Seterusnya kata Amirah lagi, Puteri UMNO Melaka akan terus pergiatkan serta terus dekati anak muda dan pengundi muda agar perjuangan parti terus kekal relevan.

“Tapi… kita tidak boleh berpuas hati. Angka ini mesti diterjemahkan kepada kerja lapangan yang lebih gigih kita perlu terus dekati pengundi muda dan baharu, rebut hati majoriti senyap dan pastikan perjuangan UMNO kekal relevan untuk PRU akan datang,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO