Haslinda Sambut Baik Seruan Onn Hafiz, Utamakan Kempen Harmoni

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Johor, Haslinda Salleh menyambut baik seruan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menggesa seluruh jentera BN negeri supaya menjalankan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) secara tertib, berhemah dan beradab.

Jelasnya, pendekatan tersebut mencerminkan kematangan politik yang perlu menjadi contoh kepada semua pihak sepanjang tempoh berkempen, sekali gus memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati.

Menurutnya, tempoh kempen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula 27 Jun hingga 11 Julai wajar dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat untuk menilai setiap tawaran, dasar dan rekod pencapaian parti yang bertanding secara adil serta rasional.

“Gunakanlah tempoh kempen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 27 Jun sehingga 11 Julai ini sebagai ruang untuk membuat penilaian yang adil dan rasional.

“Dengan sokongan rakyat, UMNO dan BN akan terus mempertahankan kestabilan dan meneruskan kemajuan demi masa depan negeri serta Bangsa Johor yang disayangi,” katanya.

Justeru, Haslinda juga Exco Wanita UMNO Malaysia menjelaskan bahawa rakyat perlu membuat pilihan yang bijak dengan menolak budaya politik kebencian dan perpecahan, sebaliknya memilih kepimpinan yang berpengalaman, stabil serta mempunyai rekod jelas dalam membawa kemajuan kepada negeri.

“Rakyat perlu membuat pilihan yang bijak dengan menolak budaya politik kebencian dan perpecahan yang hanya mengundang ketegangan serta merugikan masa depan negeri.

“Masa depan negeri tidak boleh dipertaruhkan dengan permainan politik sempit, sebaliknya perlu dipacu oleh kepimpinan yang mampu menjamin kestabilan, kemakmuran dan perpaduan demi kepentingan semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Dalam masa yang sama kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, pelbagai pencapaian yang direkodkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan Johor sedang bergerak ke arah yang lebih baik.

“Johor kini berada di landasan yang tepat untuk terus berkembang sebagai sebuah negeri maju dan berdaya saing. Pelbagai perancangan yang dirangka kerajaan negeri telah mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

“Kejayaan menarik pelaburan baharu, memperkukuhkan ekonomi negeri serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat merupakan antara bukti bahawa Johor sedang menuju ke arah yang lebih cemerlang,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO