PRN Johor: Onn Hafiz Seru Kempen Berhemah, Rakyat Diminta Nilai Rekod Parti

JOHOR BAHRU, 12 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Barisan Nasional (BN) Johor mengambil maklum pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia berhubung tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPR atas persiapan serta pelaksanaan proses demokrasi tersebut yang disifatkan selaras dengan peruntukan undang-undang dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Menurut beliau, tempoh kempen yang ditetapkan wajar dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua pihak untuk membentangkan tawaran, rekod pencapaian serta hala tuju masing-masing secara matang, berhemah dan tertib.

“Saya menyeru seluruh jentera BN Johor agar berkempen dengan penuh tertib dan beradab demi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana yang harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.

Onn Hafiz turut mengajak rakyat Johor supaya menggunakan tempoh kempen sebagai ruang untuk membuat penilaian yang adil dan rasional terhadap setiap parti yang bertanding.

“Nilailah berdasarkan rekod, kestabilan, pencapaian dan kemampuan untuk terus membawa Johor ke hadapan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Johor kini berada di landasan yang baik hasil kestabilan dan usaha pembangunan yang dilaksanakan sebelum ini.

“Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, kita akan terus mempertahankan kestabilan dan meneruskan kemajuan demi masa depan negeri serta Bangsa Johor,” tambah beliau lagi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor sementara tarikh penamaan calon pada 27 Jun dan tarikh pengundian awal pada 7 Julai.– UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO