Azalina Terima Laporan Akhir Pembaharuan Undang-Undang Kontrak
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menerima laporan akhir Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Kontrak dalam satu sesi taklimat yang berlangsung semalam.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh YA Datuk Seri Vazeer Alam Mydin Meera itu membentangkan hasil penelitian dan kajian menyeluruh terhadap cadangan pembaharuan undang-undang kontrak di Malaysia sebelum menyerahkan laporan akhir kepada Azalina.

Menurut Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO, laporan tersebut merupakan satu langkah penting dalam usaha memastikan kerangka undang-undang kontrak negara terus relevan dan selaras dengan keperluan semasa.
“Laporan akhir yang diserahkan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kerangka perundangan negara. Saya berharap segala cadangan dan syor yang dikemukakan dapat menjadi asas kepada pembaharuan undang-undang kontrak yang lebih moden, relevan dan responsif terhadap keperluan semasa,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Selepas sesi taklimat berkenaan, Azalina turut menerima kunjungan hormat daripada Institute of Strategic & International Studies (ISIS) Malaysia bagi bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dasar dan reformasi institusi negara.

Beliau berkata perbincangan bersama badan pemikir tersebut memberikan perspektif yang bernilai dalam memperkasa agenda reformasi institusi negara.
“Segala input dan pandangan yang dikemukakan oleh pihak berkepentingan amat penting dalam usaha memperkukuh sistem perundangan negara serta memastikan reformasi institusi dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama erat antara kerajaan, institusi penyelidikan dan pihak berkepentingan akan terus diperkukuhkan bagi menyokong usaha penambahbaikan dasar serta reformasi institusi secara berterusan. – UMNO Online
