Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Seru Anak Muda Tukar Alamat Mengundi

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menyeru semua pengundi, khususnya anak muda yang menetap di ibu kota, supaya segera mengemas kini alamat pendaftaran pengundi mereka mengikut kawasan tempat tinggal semasa.

Ketua Penerangannya, Nasrun Nasaruddin berkata langkah tersebut penting bagi memastikan setiap pengundi memainkan peranan dalam menentukan hala tuju pembangunan dan kepimpinan di kawasan yang mereka diami.

“Realitinya, antara faktor yang memberi kesan kepada keputusan pilihan raya di ibu kota ialah ramai anak muda pulang mengundi di kampung halaman.

“Akibatnya, apabila tiba hari pengundian, sebahagian besar pengundi muda tidak berada di Kuala Lumpur, manakala komposisi pengundi yang kekal di ibu kota didominasi oleh saluran pengundi yang berbeza,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju berkata lebih membimbangkan, ada dalam kalangan anak muda yang tidak dapat pulang mengundi ke kampung halaman kerana kekangan kerja, komitmen keluarga dan kos perjalanan yang semakin meningkat.

Menurut beliau, keadaan itu sekali gus menyebabkan ramai pengundi gagal menunaikan tanggungjawab mereka.

“Akhirnya, hak mengundi tidak digunakan dan undi tersebut hilang begitu sahaja. Jika Kuala Lumpur adalah tempat anda mencari rezeki, membina keluarga dan merancang masa depan, maka biarlah suara anda juga didengari di Kuala Lumpur.

“Daftar di tempat anda tinggal. Mengundi di tempat anda bermastautin. Tentukan masa depan komuniti anda sendiri. Jangan biarkan orang lain menentukan masa depan ibu kota tanpa suara anak muda.

“Satu undi mungkin kecil, tetapi ribuan undi anak muda mampu mengubah landskap politik Kuala Lumpur,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO