UMNO Maran Tolak Dakwaan Tidak Relevan, Kenyataan Bersifat Dangkal Dan Mengelirukan

MARAN, 11 Jun – UMNO Bahagian Maran menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Bersatu Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin, sebagai dangkal, kosong dan tidak berasaskan fakta.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Maran, Jamaluddin Md Marzuki berkata, dakwaan wujud pertelingkahan dalaman melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung isu perebutan kerusi di Maran tidak mempunyai sebarang kaitan dengan UMNO.

Menurut beliau, kenyataan tersebut secara tidak langsung menggambarkan kelemahan Perikatan Nasional (PN) di Maran, khususnya melibatkan penyandang jawatan wakil rakyat daripada gabungan itu sehingga mendorong pelbagai pihak berasa yakin untuk merampas kerusi yang disandang mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

“Pada masa yang sama, kenyataan tersebut turut membuktikan bahawa masih belum wujud sebarang gabungan rasmi antara PH dan UMNO di Pahang menjelang PRU16, sekali gus memperlihatkan kemungkinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak secara solo,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Jasri mendakwa bahawa UMNO Maran sudah tidak relevan lantaran wujudnya pertikaian mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit dan Kuala Sentul melibatkan Amanah dan PKR.

Dalam hal ini, Jamaluddin menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Jasri bertujuan mengelirukan pengundi di Maran selepas melihat perubahan sokongan masyarakat yang didakwa semakin kembali kepada UMNO dan BN hasil gerak kerja parti itu sejak PRU15.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa UMNO Maran tidak lagi relevan, sebaliknya menyifatkan kenyataan tersebut sebagai usaha menutup kelemahan wakil-wakil rakyat PN, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul.

“Rakyat Maran semakin sedar dan menilai prestasi wakil rakyat mereka. Dakwaan bahawa UMNO tidak relevan sebenarnya lebih mencerminkan kelemahan pihak yang membuat tuduhan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Jamaluddin menegaskan bahawa UMNO Bahagian Maran tidak terkesan dengan kenyataan berkenaan dan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendekati rakyat serta menjaga kebajikan masyarakat setempat.

Menurut beliau, selaras dengan slogan UMNO, “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”, parti itu akan terus memperkukuhkan gerak kerja akar umbi bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN menjelang PRU16.

“Kami akan terus istiqamah berkhidmat kepada rakyat Maran dan yakin usaha berterusan ini akan membuka mata masyarakat untuk kembali memberikan sokongan kepada UMNO dan BN pada pilihan raya akan datang,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO