PRN: Rebut Keyakinan Pengundi Baharu Dan Majoriti Senyap – Salleh Said
KUALA LUMPUR, 11 Jun — Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata keupayaan parti-parti politik memenangi keyakinan golongan majoriti senyap dijangka menjadi faktor penentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Menurut beliau, landskap politik negara kini telah berubah dengan kemunculan lebih ramai pengundi muda dan pengundi baharu, manakala jumlah penyokong tegar parti semakin berkurangan.

“Majoriti pengundi kini menilai parti dan calon berdasarkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan, tadbir urus, kredibiliti kepimpinan serta hala tuju masa depan,” katanya menerusi laman Facebooknya.
Salleh berkata pengundi masa kini juga tidak lagi melihat kepada jenama parti semata-mata, sebaliknya mahukan wakil rakyat yang mudah didekati, sentiasa bersama rakyat dan terus berkhidmat sepanjang tempoh perkhidmatan.
Beliau turut mengingatkan bahawa PRN kali ini bakal berdepan cabaran tersendiri apabila terdapat parti-parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan tetapi mungkin bertanding sesama sendiri di peringkat negeri.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kempen pilihan raya perlu dilaksanakan secara profesional dan berhemah dengan memberi tumpuan kepada isu negeri, dasar, prestasi serta penyelesaian yang ditawarkan kepada rakyat.
“Parti-parti politik perlu mengelakkan serangan peribadi dan usaha mewujudkan permusuhan politik yang boleh menjejaskan keharmonian,” katanya.

Dalam pada itu, Salleh mengingatkan pemimpin dan jentera parti supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya dalam era media sosial yang membolehkan sesuatu kenyataan tular dengan pantas dan berpotensi mencetuskan ketegangan politik.
Beliau berkata persaingan sihat merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi, namun kematangan politik menuntut semua pihak bersaing berdasarkan idea, prestasi dan kepimpinan sambil mengekalkan rasa hormat serta hubungan kerja yang baik.
“Pilihan raya hari ini tidak lagi ditentukan semata-mata oleh penyokong tradisional. Pengundi baharu dan majoriti senyap semakin memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju politik negara dengan memilih kepimpinan yang berwibawa, menawarkan penyelesaian praktikal dan menunjukkan komitmen tulus untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
