UMNO Terus Sokong Kerajaan Perpaduan, Pertahan Hak Parti Tentukan Hala Tuju PRN

KUALA LUMPUR, 10 Jun – UMNO akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, sehingga pilihan raya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia yang berlangsung malam ini.

Katanya, situasi politik di Johor adalah berbeza kerana kerajaan negeri tersebut telah dibentuk lebih awal sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan Negeri Johor dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia tanpa melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH). Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri.

“UMNO berhak menentukan pendirian dan hala tuju parti apabila menjelang mana-mana pilihan raya termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal ditentukan tarikhnya oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya menerusi satu kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Mengulas lanjut, kata Dr Asyraf lagi, keputusan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat merupakan langkah yang matang serta menghormati hak rakyat sebagai penentu utama hala tuju pentadbiran negeri.

“Keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan mandat negeri bukan pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana tuduhan segelintir. Sebaliknya ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat.

“UMNO terbuka kepada apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat. Apa jua bentuk kerjasama mesti dilandaskan kepada prinsip keikhlasan dan kepercayaan,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO