Jasnizam Sifatkan Presiden UMNO Pemimpin Berani Hadapi Pelbagai Tekanan

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah, Muhamad Jasnizam Muhamad Husni menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang terus mempertahankan parti walaupun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan politik.

Menurutnya, Ahmad Zahid menerima pelbagai kritikan serta serangan daripada pihak lawan politik, namun beliau tetap teguh dengan pendiriannya demi masa depan parti dan kestabilan negara.

“Presiden UMNO memilih mempertahankan parti dan terus melangkah dalam keadaan yang amat mencabar. Beliau dihentam dari pelbagai sudut, diserang oleh lawan politik malah ada ketika dipersoalkan oleh kawan sendiri.

“Namun beliau tidak memilih jalan mudah, sebaliknya terus memimpin dan mempertahankan keputusan yang diyakininya demi masa depan parti dan kestabilan negara. Rakyat boleh membuat penilaian sendiri.

“Hakikat yang sukar dinafikan ialah keadaan yang sedang berlaku hari ini jauh berbeza daripada ramalan ramai beberapa tahun lalu. Sama ada disukai atau tidak, itulah realiti yang sedang berlaku di hadapan mata kita,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Jasnizam berkata, UMNO dan Pakatan Harapan (PH) merupakan dua kekuatan politik besar yang mempunyai pengaruh tersendiri dan kerjasama antara kedua-duanya perlu berasaskan rasa hormat serta penghargaan terhadap rakan politik.

“Jika kedua-duanya mampu duduk semeja dan bekerjasama demi kepentingan rakyat serta negara, maka itulah yang perlu diutamakan. Namun kerjasama hanya akan bertahan jika dibina atas asas saling menghormati, saling menghargai dan tidak memperlekehkan rakan sendiri.

“Memang benar sejarah perseteruan yang panjang masih meninggalkan parut dalam kalangan akar umbi kedua-dua pihak. Sebab itu setiap pihak perlu merendahkan ego dan menghormati sensitiviti masing-masing.

“Kerjasama politik tidak boleh dibina atas rasa siapa lebih kuat atau siapa lebih hebat, sebaliknya atas kesedaran bahawa rakyat mengharapkan kestabilan, kemajuan dan masa depan yang lebih baik untuk negara,” ujarnya.

Jasnizam yang juga Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Padang Terap berkata, sekiranya kerjasama politik yang lebih tersusun mahu dibentuk pada masa hadapan, ia perlu lahir daripada semangat baharu yang lebih matang dan berpandangan jauh.

“Bukan untuk mengulangi sejarah, tetapi untuk membina masa depan. Apa juga namanya kelak, asasnya mestilah keikhlasan, saling menghormati dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Jasnizam mengingatkan bahawa UMNO bukan sebuah parti yang sedang menunggu untuk dikuburkan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Walaupun UMNO pernah jatuh, diuji dan pernah rebah, tetapi akar perjuangannya masih kukuh.Hari ini tanda-tanda kebangkitan itu semakin jelas. Jentera semakin tersusun, akar umbi semakin bersemangat dan keyakinan rakyat semakin kembali. Jangan sesekali tersilap membaca keadaan. UMNO tidak meminta ihsan sesiapa untuk terus hidup.

“UMNO sedang bangkit melalui kekuatan ahlinya sendiri. Mereka yang terlalu awal menulis batu nisan politik UMNO kini mula menyedari bahawa parti keramat ini masih mempunyai denyut nadi perjuangan yang kuat dan masih relevan dalam menentukan hala tuju negara,” tegasnya.

Seterusnya kata Jasnizam lagi, ketika negara berdepan ketidaktentuan politik, UMNO dan BN memilih untuk membantu membentuk kerajaan yang stabil bagi mengelakkan krisis berpanjangan yang boleh menjejaskan rakyat serta ekonomi negara.

“Kita boleh berbeza pandangan politik, namun tidak boleh menafikan fakta. Ketika negara berdepan kebuntuan politik selepas PRU ke-15, UMNO dan BN memilih untuk mengutamakan kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Sebab itulah UMNO dan BN tidak mahu masyarakat melihat keadaan ini seperti peribahasa Melayu, ‘melepaskan anjing tersepit’. Keputusan tersebut bukanlah keputusan yang mudah, malah terpaksa ditelan oleh ramai ahli dan penyokong parti demi memastikan negara mempunyai sebuah kerajaan yang stabil dan berfungsi,” jelasnya.

Jelasnya lagi, apa yang dahulu dipersoalkan kini mula menampakkan hasil apabila UMNO semakin stabil, kedudukannya kembali dihormati dan keyakinan rakyat terhadap parti beransur-ansur pulih.

“Tanpa perlu banyak berkata-kata, perkembangan semasa mula menunjukkan bahawa beberapa keputusan dan percaturan politik yang pernah menjadi sasaran kritikan sebenarnya mempunyai asas dan pertimbangan yang tersendiri,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO