Kestabilan Negara Ditentukan Oleh Kebijaksanaan Mentadbir Masyarakat Majmuk

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Kestabilan negara tidak ditentukan oleh peratus kaum, sebaliknya kemampuan sesebuah parti untuk mentadbir sebuah masyarakat majmuk dengan kebijaksanaan.

Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sejarah telah membuktikan Malaysia mencapai kestabilan politik sejak merdeka meskipun ditadbir oleh parti-parti teras Melayu-Islam yang membentuk gabungan.

“Sejak merdeka, Malaysia diterajui oleh parti-parti teras Melayu-Islam dalam pelbagai bentuk gabungan. Sepanjang tempoh itulah negara ini berkembang, kekal aman dan menjadi antara negara paling stabil di rantau ini.

“Jadi apabila ada yang mempersoalkan sama ada negara boleh stabil jika dipimpin oleh majoriti Melayu-Islam, saya tertanya-tanya … selama hampir 70 tahun ini, siapa sebenarnya yang memimpin Malaysia?” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan aktivis politik, Liyana Marzuki yang mempersoalkan masa depan Malaysia sekiranya dipimpin oleh parti teras Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar menegaskan bahawa perbezaan politik tidak sepatutnya mendorong mana-mana pihak untuk memesongkan fakta dan realiti sejarah negara.

“Bagi saya, kestabilan negara tidak ditentukan oleh peratus kaum, tetapi oleh kebijaksanaan, keadilan dan kemampuan mentadbir sebuah masyarakat yang majmuk.

“Jangan kerana perbezaan politik, kita cuba memutar belit fakta dan sejarah negara. Politik boleh berbeza, tetapi realiti sejarah tidak boleh dinafikan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan prinsip perjuangan PPBM apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa beliau akan mengekalkan Exco PPBM dalam pentadbiran jika mereka masih memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri Kedah.

“Komen saya, kalau parti sendiri dah tolak sebagai rakan politik, tetapi masih kekal dalam kerajaan untuk jawatan yang ada, rakyat berhak bertanya … yang diperjuangkan itu prinsip atau kedudukan?

“Ini kerana maruah politik bukan sekadar kepada kenyataan media tetapi keberanian mempertahankan pendirian. Sudahlah dihina, ‘gagah’ nak sokong lagi. Di manakah maruah PPBM ini?

“Kepada Ketua Penerangan PPBM, Tun Faisal Ismail Aziz tolong jawab sedikit tentang isu ini. Sedih rasa hati saya ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO